Untukmu Ibu, Cukupkah Sehari Dalam Setahun?
Menjelang bulan mei ini, kita akan dapat melihat pelbagai “update status” dalam facebook tentang anak-anak prihatin yang berhasrat menyediakan hadiah sempena hari ibu. Apabila tanggal 13 mei semakin hampir, pusat membeli belah pasti akan menjadi pilihan kebanyakan anak-anak ini sebagai destinasi memulakan pencarian hadiah yang terbaik untuk dihadiahkan kepada ibu tercinta sebagai simbol kasih sayang mereka.
Namun begitu, terdapat suatu isu utama yang tidak boleh kita abaikan mengenai sambutan hari ibu ini. Hal ini bukanlah baru diperkatakan bahkan telah dibahaskan sejak sekian lama iaitu tentang status sebenar bagi umat islam meraikan hari ibu. Seperti yang telah ditegaskan oleh kebanyakkan ulamak, hari ibu adalah haram sambutannya bagi umat islam. Mendengarkan kenyataan seperti ini, maka pelbagai reaksi dan ekspresi yang dizahirkan oleh segolongan masyarakat yang begitu prihatin tentang sambutan hari ibu.
Ada yang menerima pernyataan ini dengan hati yang terbuka dan mengakui kebenarannya, namun, ada juga sekelompok masyarakat yang melatah dan mendakwa pernyataan tersebut hanyalah sebuah retorik. Maka pelbagai analogi dan perbandingan yang digariskan bagi memastikan pendirian masing-masing 'benar' dan 'halal'.
Isu sebenar pengharaman sambutan hari ibu ini adalah rentetan daripada sejarah kewujudan sambutan ini sendiri. Secara ringkasnya hari ibu adalah sebuah sambutan di Negara Greece yang bertujuan memberi penghormatan khusus buat ibu kepada tuhan mereka, Rhea. Sekitar tahun 1600, bagi memberi penghormatan kepada mother Mary, masyarakat Eropah menyambut “mothering Sunday” dengan berhenti makan dan minum makanan atau minuman tertentu atas alasan keagamaan.
Kesinambungan kepada sejarah silam ini, sekitar tahun 1907, Anna Jarvis dari Philadelphia telah berjaya mempengaruhi Mother’s church agar melancarkan hari ibu dan pelaksanaannya adalah pada ahad minggu kedua bulan Mei , bersamaan dengan ulang tahun kedua kematian ibunya. Amalan ini terus dijadikan legasi masyarakat Philadelphia dan telah menular keseluruh dunia. Kebanyakkan masyarakat dunia islam mengadaptasi budaya ini secara tidak langsung tanpa menyedari hakikat sebenar sambutan hari ibu diperkenalkan.
Dengan bersandarkan hadis yang didatangkan dari Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“ Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka”
Maka penekanan terhadap pengharaman hari ibu perlu dipraktiskan oleh umat islam sejagat, bukan hanya umat islam di Malaysia sahaja. Hadis ini amatlah jelas menyatakan bahawa Rasulullah SAW amat tidak menyukai sesiapa dari kalangan umatnya mengadaptasi amalan-amalan dari kaum bukan islam. Apatah lagi jika amalan tersebut boleh memberi kesan kepada akidah kita umat islam secara tidak langsung.
Syeikh Hamid Al-Attar (Ahli kesatuan Ulama’ Islam Sedunia) berpendapat bahawa sambutan hari ibu itu akan jatuh makhruh dan tidak jauh dari haram jika tarikh sambutannya menyerupai amalan orang bukan islam (ahad minggu ke-2 bulan mei) kerana ia akan menyerupai perayaan orang-orang bukan islam. Penekanan ini adalah berlandaskan beberapa hadis Rasulullah yang melarang umatnya menyerupai ahli kitab.
Berikut sedutan dari kuliyah Ustaz Azhar Idrus mengenai hukum ini,
Realiti Penghargaan Seorang Anak
Cuba kita jejakkan kaki di hospital-hospital (hospital kerajaan utamanya), kita akan melihat suatu kondisi yang akan menzahirkan perbezaan kasih seorang ibu dan sayang seorang anak. Kita boleh melihat di katil-katil yang didiami oleh warga emas yang sangat uzur, adalah sangat jarang akan ada bekas makanan yang dibekalkan dari rumah mahupun seorang peneman setia di setiap ketika.
Kebiasaanya hanya diwaktu cuti atau hujung minggu sahaja mereka-mereka ini akan diziarah secara sepenuh masa. Sedangkan, dalam kondisi yang uzur dan kudrat yang ada tidak seberapa, mereka ini sangat memerlukan perhatian dari seorang anak untuk menguruskan kehidupan sehari-hari mereka. Berbeza pula situasi di katil-katil yang didiami oleh anak-anak yang masih mempunyai orang tua.
Setiap hari bahkan ada yang setiap kali waktu makan, akan ada makanan yang dibawa dari luar atas alasan bimbang makanan yang disediakan oleh pihak hospital tidak membangkitkan selera si anak yang sedang sakit. Tidak cukup dengan makanan, akan ada si ibu yang akan menjadi peneman setia yang sabar dan tegar tidur berkatilkan kerusi demi memastikan keadaan si anak dalam keadaan terurus dan selesa semaksima mungkin. Di tambah pula dengan pelbagai ragam dan karenah semua anak-anaknya cuba dipenuhi. Jika si ibu tidak mampu menghadirkan diri, akan dipastikan juga akan ada seseorang yang menjadi pengganti. Nah, fikirkan perbezaan ini kerana inilah realiti masa kini.
Setiap Hari Adalah Peluang
Jika seorang ibu mampu menginfakkan 24 jam sehari bagi memastikan kebajikan dan kebaikan anak-anak, mengapa pula kita yang seorang anak menunggu tarikh yang hanya sekali dalam setahun bagi menunjukkan kecintaan dan penghargaan kita kepada seorang yang bergelar ibu. Penghargaan kepada ibu haruslah dilakukan setiap hari, bahkan setiap saat.
Sepertimana seorang ibu yang tidak kenal erti lelah mengasuh kita seorang anak, kita juga tidak perlu mengenal detik masa tertentu bagi mengekspresikan perasaan kita terhadap ibu tercinta. Setiap hari yang kita miliki sebenarnya adalah sebuah ruang dan peluang untuk kita mencurahkan kasih sayang dan penghargaan kita kepada ibu tercinta. Jangan lah kita menjadikan batasan masa dan lokasi sebagai satu alasan bagi menutup kekhilafan kita terhadap hak ibu kita sendiri.
Jika kita boleh menghabiskan ratusan ringgit untuk barangan berjenama, membeli telefon bimbit model terkini serta juga menghabiskan puluhan ringgit setiap bulan membayar bil internet, jadi tidak ada salahnya kalau kita menginfakkan sekadar 50 sen sehari untuk menghubungi ibu bertanya khabar dan bertukar cerita. Sekiranya menelefon itu juga masih beban kepada kita, pesanan ringkas setiap hari sebagai ingatan juga amat memadai sebagai tanda ingatan kita. Perhatian dan ingatan setiap hari itu adalah lebih bermakna kepada seorang ibu daripada hadiah berjenama yang diterima setahun sekali.
Semoga penghargaan kita kepada ibu kita bukan lah sekadar ucapan klise yang kita saratkan dengan simbolik perasaan dan air mata setiap setahun sekali. Penghargaan kepada ibu adalah lebih dari tas tangan mahupun jam tangan berjenama. Penghargaan yang terbaik adalah bila kita mampu menyelaraskan tindakan kita dengan setiap kata-kata dan janji yang kita taburkan kepada ibu kita sendiri. Jangan lah kita jadikan perkataan kita hanyalah sebuah omongan kosong yang dijadikan rencah tambahan bagi menampakkan rasa cinta kita kepada seorang ibu.
Ayuh semua anak muda! Kami Sinergi Gerakan Mahasiswi Gamis cawangan Melaka mengajak kita semua agar menjadikan setiap hari dalam hidup kita adalah HARI IBU.
" Seorang ibu mampu menjaga, memelihara 9 orang anaknya namun 9 orang anak belum tentu mampu menjaga dan memelihara ibunya kelak, mari menjadi anak SOLEH dan SOLEHAH "
Oleh,
Sinergi Gerakan Mahasiswi,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Cawangan Negeri MELAKA
Untunglah ade ibu baru lagi... :(
ReplyDelete