Monday 7 May 2012

Gen Y : Kurang berbisa, perlu tambah perisa!

“ Peradaban selalu bermula dari gagasan. Peradaban besar selalu lahir dari gagasan-gagasan besar. Dan gagasan besar selalu lahir dari akal-akal raksaksa”.



Itulah petikan dari buku “ Dari Gerakan Ke Negara” tulisan M Anis Matta, salah seorang daripada aktivis PKS Indonesia. Bagaimana masa hadapan negara kita kelak juga bakal ditentukan oleh akal-akal raksaksa milik tanah air Malaysia ini. Persoalannya bagaimanakah generasi muda atau singkatannya Gen Y yang tercetak ini mampu melahirkan akal-akal raksaksa sekaligus tindakan-tindakan luar biasa? Persoalan terus berlegar apakah kita berupaya menjadi generasi yang mampu mempertahankan maruah dan kewibawaan dalam menghadapi suasana hari ini yang pelbagai mehnah dan tribulasi? Juga adakah setiap tindakan yang kita unjurkan dengan memelihara nilai dan prinsip Islam? 

Anda adalah 'MUTIARA'



Generasi hari ini perlu bertindak pro-aktif dalam memberi respond terhadap isu-isu negara samada aspek politik, ekonomi dan sosial. Maka pelbagai tuntutan timbul demi memastikan masa depan sebuah negara terjamin dan terpelihara. Sebagaimana kata Ulama' Muktabar mutaakhir ini, Prof.Dr.Yusuf Al-Qardhawi bahawa generasi muda adalah merupakan aset terpenting ummat, beliau umpamakan generasi ini ibarat 'MUTIARA' yang menjadi perbendaharaan negara. Namun begitu sayang apabila 'MUTIARA' ini tidak digilap sebaiknya dan menjadi lusuh dan malap sebelum waktunya.

Mengapa dikatakan sedemikian, kerana kita melihat hari ini generasi muda terbahagi kepada dua golongan iaitu peduli dan tidak peduli sebagaimana yang disentuh oleh Ustaz Hasrizal dalam penulisannya mengenai isu ini. Pun begitu, masalah menjadi lebih meruncing apabila golongan peduli ini juga turut berpecah kepada golongan yang faham dan bersemangat memperjuangkan kebenaran berlandaskan garis panduan syari'at. Kemudian sebahagiannya pula golongan yang bersemangat tanpa fahaman yang jelas atas landasan syari'at yang kukuh. Inilah yang merugikan perjuangan ini, menjadikan generasi muda hari ini kurang berbisa kerana masih tidak mampu mempunyai 'wehdatul fikr' iaitu kesatuan fikrah. Maka lahirlah tindakan-tindakan yang berbeza syari'at namun berkiblatkan matlamat yang sama.

Hal ini amat merugikan, maka perlu untuk kita sama-sama perbaiki supaya generasi muda mampu lebih berbisa!

PERISA 1 : Sinergi Tarbiyah, Siasah, Dakwah


Bagi menyelesaikan polemik ini, sangat pelu disinergikan 3 elemen utama dalam prinsip perjuangan, iaitu TARBIYAH, SIASAH, dan DAKWAH. 3 perkara ini menjadi elemen yang sangat penting dalam memberi kekuatan pada diri mahupun jemaah. 

Pemimpin Gen Y perlu memantapkan aspek tarbiyyah dalam diri kerana Tarbiyyah adalah tunjang kekuatan diri mahupun sesebuah jemaah. Sedar atau tidak, tarbiyah yang konsisten mampu membina kekuatan dalaman dalam diri seseorang dan kelangsungan jemaah. Apabila para pejuang Gen Y selesai bab ini, dalam elemen tarbiyah ruhiyyah, aqliyyah, jasadiyyah, siyasiah dan seterusnya mampu dihadam maka terbentuk suatu generasi muda yang mempunyai ikatan Tauhidullah yang utuh. Maka ikatan aqidah atas kefahaman yang jelas inilah, yang akan memimpin semangat generasi muda agar bertindak secara luar biasa dengan akal-akal raksaksa itu tanpa segan silu memberi imej yang baik kepada Islam.

Tatkala segala elemen tarbiyah ini disepadukan, maka sudah pasti pembawaan dakwah dan sisasah menjadi sangat baik dan terpuji. Golongan yang sentiasa rela ditarbiyah dan mentarbiyah akan membawa mentol dakwah dan siasah ini di mana sahaja, selagi mampu meletakkan keadilan Islam di puncak tertinggi, Maka pasti hairan jika masih ada golongan yang bisu dan kaku dalam membawa dakwah jika telah menghayati perisa 'Tarbiyah' ini. Untuk ini, perlu muhasabah kembali dan semak amalan diri serta niat.

PERISA 2 : Ikhlas ibarat garam dan gula


Apa ada pada rasa menu dan sajian sekiranya tiada garam dan gula dalamnya? 

Begitulah hal yang sama kepada pejuang generasi muda hari ini, berjuang dan bersemangat berhempas pulas demi sebuah keadilan namun sekiranya tidak ikhlas, maka perjuangan ini tidak akan panjang, mati sebelum sampai penamat. Nabi S.A.W bersabda (maksudnya), 

"Sesungguhnya Allah Taala tidak akan menerima amalan kecuali apa yang dibuat dalam keadaan ikhlas, berkeinginan kepada wajahNya" (Sahih Al Bukhari, no 97, kitab al Ilm)

Terdapat sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa;


Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka, "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?


Jawabnya, "Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid".
Dibalas, "Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar - pejuang yang berani".


Setelah dikatakan begitu, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Ditanyakan pula kepada (orang kedua), "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?


Jawabnya, "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al Quran".


Dijawab semula, "Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘alim, kamu membaca Al Quran agar digelar qari".


Setelah itu, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Kemudian ditanyakan kepada (orang ketiga), "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?


Jawabnya, "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"


Dijawab semula, "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar dermawan". Lalu dia telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. (Riwayat Muslim, no:3527, Kitab Al Imarah).


Gen Y haruslah setiap hari mensucikan niat agar semangat yang tinggi untuk menentang kemungkaran dan kezaliman ini bukan semangat kosong bahkan benar-benar ikhlas dalam menyampaikan. Hanya apabila ikhlas, jika diberi teguran akan diterima bahkan bersyukur atas teguran yang diterima.Maka pasti lahir golongan Gen Y yang mempunyai kualiti akhlak yang terpuji lantas menjadi role model buat mereka yang lain.

PERISA 3 : Berstrategi & Berpandangan jauh


Seorang anak muda wajarlah mempunyai pandangan yang tajam, kritikal dan mampu berpandangan jauh. Tindakan hari ini mampu memberikan impak di kemudian hari. Maka tidak cukup dengan semangat yang membara, perlu diikat kemas dengan strategi yang mantap. Memetik kata-kata Saidina Ali,

" Kebenaran yang tidk terancang mampu dikalahkan oleh kebatilan yang terancang "

Ini adalah merupakan aspek terpenting dalam pergerakan dan percaturan para pejuang agar kesan yang timbul adalah efektif. Yang pasti, setiap tindakan akan ada kesannya; maka atas sebab itu para Gen Y perlu merangka dengan baik segala perancangan dengan mengambil  kira segala aspek. 

PESAN ABDULLAH NASIH ULWAN BUAT PEMUDA



ABDULLAH NASEH AL-ULWAN dalam bukunya ‘Membina Generasi Muslim Ideal’ atau Hatta Ya’lama Syabab menggariskan beberapa keistimewaan dan sifat asasi yang perlu dimiliki buat pemuda-pemudi Islam.


Iman yang mantap, tidak goyah dan lemah
Ikhlas dan murni dalam amal & tindakan
Semangat keinginan yang membuak-buak dalam menggapai visi & cita-cita
Iltizam & komitmen yang tidak kenal erti penat & lelah
Pengorbanan yang tulus dan bersungguh-sungguh.






Oleh,

Majlis Tarbiyah dan Kepimpinan
Gamis Cawangan Melaka

No comments:

Post a Comment