Friday 28 February 2014

Menolak Dakwaan Kassim Ahmad

Penolakan secara pukal sunnah dan hadis Nabi atas alasan ia bukan daripada Tuhan merupakan penafian terhadap isi kandungan al-Quran yang banyak menyeru kepada mentaati, mengikuti teladan dan mencontohi Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam segenap kehidupan Muslim. Ini jelas mempamerkan kegersangan si penutur (Dr Kassim Ahmad - kanan) tentang tradisi al-Quran itu sendiri yang telah diwarisi semenjak al-Quran itu diturunkan di Makkah lagi. ia juga menonjolkan kejahilan sang penolak sunnah kepada persoalan tradisi keilmuan Islam sama ada pada zaman periwayatan lisan pada awalnya mahupun pada zaman penulisan ilmu. Hal ini merupakan salah satu daripada akibat menafikan peranan autoriti dan metodologi yang sahih dan diperakui zaman-berzaman dalam menyikapi al-Quran dan agama Islam itu sendiri.
Penerimaan autoriti berteraskan metod yang sahih dalam tradisi keilmuan Islam tidak akan mewujudkan kelompok kepaderian seperti yang didakwa. Malah sepanjang sejarah Islam tidak wujud konotasi institusi mahupun kerangka pengamalan kepaderian seperti zaman kegelapan Kristian Eropah. Apa yang wujud ialah penerimaan autoriti dan metodologi yang sahih telah melahirkan ramai sarjanawan, cerdik pandai dan tokoh-tokoh ilmu daripada pelbagai bangsa dalam segenap bidang keilmuan berkaitan al-Quran dan hadis. Malah sistem periwayatan hadis dan sunnah serta penjagaan dan penyelidikannya merupakan sesuatu yang unik yang bertujuan demi menjaga ketulenan agama yang tidak terdapat dalam tradisi keilmuan agama-agama lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan yang terhasil daripada tradisi keilmuan Islam juga adalah jutaan koleksi kajian ilmiah, penyelidikan, kesarjanaan dan juga ratusan ribu jilid karya agung di perpustakaan yang bukan hanya diiktiraf oleh kaum Muslimin sahaja nilai keilmuannya, malah oleh mereka yang bukan Islam. Malah sunnah dan hadis yang disikapi sebagai sumber epistemologi ilmu yang primier bersama al-Quran telah menjadi dinamo kepada revolusi ilmu dalam sejarah umat Islam sehingga hari ini.

Penolakan secara tidak bermetod terhadap hadis dan sunnah serta segala yang berkaitan dengannya hanyalah usaha menghancurkan peradaban keilmuan Islam yang telah terbina selama lebih seribu empat ratus tahun lamanya. Bahkan ia juga merupakan satu pukulan untuk mencacatkan wajah dan nilai substantif Islam itu sendiri seraya menafikan lebih daripada separuh kandungan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sepertimana yang diwarisi dari para sahabat, tabi’inselepas mereka dan juga tabi' tabi’in yang mengikuti metod yang sahih yang mereka pelajari daripada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam itu sendiri.

Dr Maszlee Malik adalah Pensyarah di Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau juga merupakan Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

Salin tampal dari laman web Malaysia Harmoni.

.

Tuesday 18 February 2014

Respon Terhadap Seminar Pemikiran Kassim Ahmad

GAMIS berasa sangat kesal di atas penganjuran Seminar Pemikiran Kassim Ahmad yang di anjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana. Telah maklum bahawa Yayasan ini dinaungi oleh Tun Dr Mahathir.

Kasim Ahmad, tokoh yang lama sudah menyepi kini muncul kembali dan tidak pernah bertaubat walaupun umurnya sudah lanjut, menghidupkan kembali ajaran dan pemikirannya yang sudah diiktiraf oleh badan yang berautoriti dalam mengeluarkan fatwa; Majlis Fatwa Kebangsaan dan JAKIM bahawa Kassim Ahmad sesat dan menyeleweng.

Kenapa beliau diangkat kembali? Adakah untuk menyibukkan umat Islam yang sejak akhir-akhir ini semakin risau dengan kenaikan harga barang yang mencekik, jenayah yang membimbangkan dan isu-isu antara kaum yang semakin hangat ditiupkan.

GAMIS mengajak seluruh mahasiswa Islam khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk tidak melayan sebarang provokosi disamping mengharapkan badan-baan tertinggi agama seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengambil sebarang tindakan yang sesuai.

Janganlah kerana program yang dianjurkan oleh sebuah yayasan yang dinaungi oleh seorang tokoh besar negara, kita membisu di atas rasa takut menyatakan kebenaran.

ABDUL MALIK BIN AB RAZAK
Presiden GAMIS
.

Sunday 16 February 2014

Ketika Ali RA Mengetuai Kerajaan

Ketika Saidina Ali mengetuai kerajaan Islam, ramai kumpulan orang Islam yang keluar dari pemerintahannya kerana merasakan kepimpinan beliau tidak betul dan salah. Suatu hari seorang sahabatnya bertanyakan soalan tentang golongan tersebut.


“Ya Amirul Mukminin kafirkah mereka?

“Tidak, kerana mereka mengucap kalimah tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, sedangkan orang kafir mendustakannya”


“Munafikkah mereka?”

“Tidak, kerana mereka mendirikan solat, sedangkan orang yang munafik mendirikan solat dalam keadaan yang malas”


“Maka siapakah mereka?”

“Mereka itu saudara kita, Cuma mereka bukan sekumpulan dengan kita. Hadapilah mereka jika mereka menyerang kita, tetapi berpalinglah dari mereka jika mereka tidak mengganggu kita.

MasyaAllah sangat indah kata-kata yang dilafazkan oleh Khulafa’ Al-Rasyidin yang terakhir ini. Kata-kata ini bagaikan satu penyelesaian di atas perbalahan yang berlaku di dalam dunia Islam sekarang.

Berbilang-bilang Jamaah


Realiti perjuangan Islam di Malaysia ini banyak mendedahkan kita dengan situasi taadud jamaah, jika dibilang, lebih dari sepuluh yang sudah didaftarkan samada menjadi NGO ataupun parti politik. Itu belum termasuk jamaah yang tidak didaftarkan secara sah dengan kerajaan dan hanya bergerak di bawah tanah sahaja.

Biarlah banyak manapun jamaah yang ada hakikatnya kita semua mempunyai satu tujuan yang sangat besar iaitu menyambung risalah perjuangan Rasulullah SAW kepada seluruh umat manusia iaitu agama Islam selain mengejar mardhatillah sebagai seroang muslim.

Tetapi, kebelakangan ini kita sering terdengar tentang banyak berlaku pertelingkahan di antara jamaah sehingga fokus yang ditetapkan oleh setiap jamaah ditinggalkan kerana lebih banyak masa dan tenaga digunakan untuk memenangkan jamaah masing-masing dan bukannya memenangkan Islam.

Akhlak kita yang ditarbiyah

Sebagai seorang ahli jamaah yang ditarbiyah dengan sifat – sifat Islam, kita seharusnya faham dengan realiti ini dan seharusnya lebih matang dalam mengendalikan isu-isu sedemikian.

Bukankah Imam Hasan al-Banna sudahpun berpesan kepada kita tentang perkara ini di dalam Arkanul Baiah yang pertama iaitu al-fahmu (faham). Dalam penjelasannya, beliau banyak menyatukan hati-hati orang mukmin ini agar sentiasa berada pada landasan yang benar supaya pembaziran tenaga tidak berlaku kerana perbalahan yang timbul dek kerana hal-hal yang furu’ dan tidak meningkatkan amal.

Ukhuwah

Sesungguhnya darjat ukhuwah yang paling rendah adalah berlapang dada terhadap sahabat lain dan tingkatan tertinggi adalah ithar, iaitu mengutamakan sahabat lebih dari diri sendiri.

Nah, cuba tanya kembali dimanakah darjat ukhuwah kita sesama Islam? Adakah masih ada di dalam lingkungan ukhuwah yang dimaksudkan, ataupun sudah jauh lari kerana kepura-puraan. Muhasabahlah dan kembali pada ajaran Islam yang sebenar.

Sikap taksub

Kadang-kadang kerana taksub terhadap jamaah menjadikan kita hilang punca dan arah tuju yang sebenarnya, adakah kita berada di dalam jamaah ini semata-mata kerana jamaah atau kerana ingin menegakkan agama Allah? Sesungguhnya Islam membenci sifat fanatik atau berlebihan dalam sesuatu perkara.

Betul, memilih jamaah yang terbaik perlu untuk kita merasa yakin dalam perjuangan ini, tetapi itu tidak bermaksud kita boleh sewenang-wenangnya mengatakan jamaah lain salah dan hanya jamaah kita sahaja yang betul.

Sebaliknya kita perlulah menyedari tentang peranan jamaah yang berbeza-beza. Hiduplah seperti satu tubuh yang saling lengkap melengkapi diantara satu dengan yang lain. Andai anggota lain hilang, maka ia akan menyulitkan pergerakan anggota yang lain.

Dalam naungan Mahabbah

Islam menganjurkan kita bersederhana di dalam melakukan setiap perbuatan. Jangan terlalu melampau dan jangan pula terlalu sedikit melakukan amalan. Marilah bersatu di dalam naungan rasa mahabbah dan kasih sayang. Andai kata ada yang silap, perlulah ditegur dengan penuh hikmah dan perlulah sentiasa siap untuk ditegur semula.

Jalan perjuangan ini memerlukan orang yang benar-benar ikhlas dan kita pasti tidak terlepas daripada tapisan Allah. Berjuanglah di medan masing-masing, andaikata seorang rebah, maka papahlah ia bersama menuju ke destinasi.



MAHASISWA MEMIMPIN PERUBAHAN

Di ambil dan diolah daripada laman blog BADAS IPG KSAH 

.