Hapuskan PTPTN, hapuskan riba sahaja atau tukar jadi biasiswa bagi yang cemerlang. Bagi kami, itu adalah perkara-perkara teknikal yang kerajaan boleh duduk semeja memikirkan penyelesaiannya mengikut keadaan kewangan negara. Asal saja kerajaan ada political will yang kuat untuk menyalurkan dana negara ke arah matlamat yang lebih penting seperti hak-hak asasi sehingga tercapainya win-win situation.
Perlu difahami mungkin ramai yang melihat isu penghapusan PTPN ini sebagai satu manifesto pihak pembangkang dalam menabur janji. Tidak kurang juga, ramai yang keliru dengan isu ini lebih-lebih lagi bila dilaporkan hutang negara yang banyak dan bakal mengalami bankrupt sekiranya diberikan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia.
Namun begitu, tidak bagi kami Gamis Melaka melihat sebenarnya terkandung isu tersirat di sebalik penghapusan PTPTN ini. Sebagaimana kami mendokong politik nilai yang dibawakan mana-mana pihak, maka kami mempunyai pandangan terhadap isu PTPTN ini. Sehingga kita terlupa, sebenarnya juga perkara pokok kepada isu ini adalah dilihat bagaimana kerajaan berbelanja dan menguruskan kewangan negara, sehingga MAMPU berhutang sebanyak itu.
Tersirat di sebalik tersurat
Perkara tersirat yang cuba dibawa perlu kita fahami. Satu, sudah cukuplah dengan mentaliti DEB yang telah tertanam kemas di minda rakyat. Bantuan demi bantuan telah diberikan, tetapi akhirnya pelajar tetap malas dan sukar untuk berdiri di kaki sendiri. Inilah dia mentaliti yang telah ditanam sejak sekian lama. Oleh sebab itu masyarakat takut dan ragu untuk bersetuju dengan konsep pendidikan percuma.
Minda rakyat tidak dididik dengan modal insan kelas pertama, yang penuh dengan daya saing dan nilai etika yang tinggi, seperti yang ingin dicapai dalam Wawasan 2020. Kesannya, prestasi pelajar semakin diragui apabila menuntut agar diberi kesenangan. Bukankah ini juga salah satu tanggungjawab pemerintah, iaitu untuk membentuk acuan pemikiran rakyat? Konsep bersyukur itu, bukankah kerajaan juga yang sudah sekian lama menanamnya?
Dua, siapa yang tidak berang dengan kes-kes dan skandal-skandal politik wang yang dilakukan pemerintah. Di saat ada ramai lagi anak-anak Malaysia yang tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran ataupun bahkan untuk menjinjit beg sekolah pun, skandal-skandal seperti hutang RM580 juta Datuk Tajudin Ramli yang dilupuskan, kes komisen RM500 juta kapal selam Scorpene, kes cincin RM24 juta Datin Rosmah, skandal RM250 juta National Feedlot Corporation Datuk Sharizat dan lain-lain lagi sedang bertiup kencang di arena politik Malaysia.
Siapa berang, siapa yang tentang?
Apabila pelajar yang berang, sudah tentu ia dikaitkan dengan mendahulukan dana-dana yang dibazirkan itu ke arah pendidikan. Kalau rakyat Sabah yang berang, sudah tentu ia dikaitkan dengan mendahulukan ia ke arah pembaikan jalan raya dan pengembalian tanah adat. Kalau orang miskin yang berang, sudah tentu ia dikaitkan dengan dana-dana kebajikan. Bagitulah senario politik Malaysia yang dilihat pada masa kini, dan ini sudah amat memualkan sehingga terbit penentangan.
Di mana akhirnya, pelajar yang berang dahulu. Dana-dana itu kalaulah disalurkan ke tujuan pendidikan, ramailah anak-anak miskin yang mampu untuk melanjutkan pelajaran, ramailah juga anak-anak miskin yang mampu menikmati pendidikan walaupun yang paling minimal. Kesannya mungkin tidak akan kita rasa sekarang, tapi dalam jangka masa yang panjang. Kesan positif atau negatif itu bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan menguruskannya.
Tindakan hari ini untuk masa hadapan
Impak mereka yang berkhemah di Dataran Merdeka itu sudah kita lihat. Respon-respon dari pihak kerajaan, pembangkang, pelajar dan rakyat berpusu-pusu mengisi laman-laman diskusi, kedai-kedai kopi, bahkan kelas-kelas di universiti. Ada yang kata mereka biadap, ada juga yang kata mereka berani. Biadap atau berani, sama-sama kita fikir apa impak yang berjaya mereka bawa. Akan samakah dengan jalan diplomasi yang sudah berkali-kali ditolak dan disenyapkan?
8 tahun lagi, tahun 2020. Semak balik 9 cabaran yang kerajaan sendiri letakkan. Lagu W2020 yang kita nyanyikan di perhimpunan sekolah dulu akan kita lihat hasilnya tidak lama lagi. Sempatkah kita menyaksikannya? Apakah kami bakal melihat masa depan yang gemilang melahirkan masyarakat yang berpendidikan atau hanya sebahagian? Maka sama-sama kita fikirkan dan lakukan perubahan.
" Inspirasi Anak Muda "
Unit Penerangan,
Gamis Melaka.
No comments:
Post a Comment