Kehangatan isu pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma seperti yang ditawarkan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih terasa terutama sekali dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara.
Namun, isu ini telah dijelaskan dengan penuh kematangan dan intelektual di dalam perdebatan antara dua tokoh anak muda yang penuh kredibiliti iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik PKR.
Perkara utama yang ingin ditekankan di sini ialah, mahasiswa lebih fokus dengan tawaran pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma, bukan parti politik. Pihak GAMIS cawangan negeri Melaka yakin bahawa isu ini bukan untuk dipolitikkan akan tetapi isu ini benar-benar memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat khususnya bagi mahasiswa.
Merujuk kembali kepada kandungan Deklarasi Inspirasi Anak Muda (INSPIRASI) yang dilancarkan oleh GAMIS Pusat pada 25 Mac lalu, isu yang dibawa oleh debat ini selari dengan salah satu jajaran iaitu dalam membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian.
Kematangan panelis dalam bersemuka dan berhujah memberikan satu nafas baru dalam senario politik tanah air. Selama ini debat dipandang tidak sihat oleh sesetengah pihak tetapi debat PTPTN telah membuktikan sebaliknya. Kedua-dua pihak BN dan PR yang selama ini dilihat seteru kuat mampu untuk berdiri sepentas malah turut bersetuju dalam beberapa perkara yang membabitkan isu pendidikan tinggi tanah air.
Perkara ini turut diakui oleh moderator debat yang juga pensyarah UIA, Dr Maszlee Malik. Beliau menyatakan debat seperti ini akan tercatat di dalam makalah demokrasi tanah air. Debat intelektual seperti ini menunjukkan Malaysia semakin bergerak ke arah politik baru yang berakarkan integriti.
Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) cawangan negeri Melaka menyokong penuh usaha pihak penganjur iaitu Sinar Harian dalam menyediakan medium seperti debat yang mampu menarik perhatian ramai bukan sahaja kerana kehadiran tokoh utama malah mendatangkan maklumat yang adil dan pertama terus dari sumber.
Tahniah diucapkan kepada kedua-dua tokoh ini dan juga pihak penganjur kerana mampu memberi pencerahan minda bukan sahaja kepada mahasiswa itu sendiri malah membuka jelas pemikiran ibu bapa mengenai perjuangan sebenar mahasiswa dalam pemansuhan PTPTN dan pemberian pendidikan percuma.
-Majlis Politik Nasional GAMIS MELAKA-
No comments:
Post a Comment