Friday 28 February 2014

Menolak Dakwaan Kassim Ahmad

Penolakan secara pukal sunnah dan hadis Nabi atas alasan ia bukan daripada Tuhan merupakan penafian terhadap isi kandungan al-Quran yang banyak menyeru kepada mentaati, mengikuti teladan dan mencontohi Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam segenap kehidupan Muslim. Ini jelas mempamerkan kegersangan si penutur (Dr Kassim Ahmad - kanan) tentang tradisi al-Quran itu sendiri yang telah diwarisi semenjak al-Quran itu diturunkan di Makkah lagi. ia juga menonjolkan kejahilan sang penolak sunnah kepada persoalan tradisi keilmuan Islam sama ada pada zaman periwayatan lisan pada awalnya mahupun pada zaman penulisan ilmu. Hal ini merupakan salah satu daripada akibat menafikan peranan autoriti dan metodologi yang sahih dan diperakui zaman-berzaman dalam menyikapi al-Quran dan agama Islam itu sendiri.
Penerimaan autoriti berteraskan metod yang sahih dalam tradisi keilmuan Islam tidak akan mewujudkan kelompok kepaderian seperti yang didakwa. Malah sepanjang sejarah Islam tidak wujud konotasi institusi mahupun kerangka pengamalan kepaderian seperti zaman kegelapan Kristian Eropah. Apa yang wujud ialah penerimaan autoriti dan metodologi yang sahih telah melahirkan ramai sarjanawan, cerdik pandai dan tokoh-tokoh ilmu daripada pelbagai bangsa dalam segenap bidang keilmuan berkaitan al-Quran dan hadis. Malah sistem periwayatan hadis dan sunnah serta penjagaan dan penyelidikannya merupakan sesuatu yang unik yang bertujuan demi menjaga ketulenan agama yang tidak terdapat dalam tradisi keilmuan agama-agama lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan yang terhasil daripada tradisi keilmuan Islam juga adalah jutaan koleksi kajian ilmiah, penyelidikan, kesarjanaan dan juga ratusan ribu jilid karya agung di perpustakaan yang bukan hanya diiktiraf oleh kaum Muslimin sahaja nilai keilmuannya, malah oleh mereka yang bukan Islam. Malah sunnah dan hadis yang disikapi sebagai sumber epistemologi ilmu yang primier bersama al-Quran telah menjadi dinamo kepada revolusi ilmu dalam sejarah umat Islam sehingga hari ini.

Penolakan secara tidak bermetod terhadap hadis dan sunnah serta segala yang berkaitan dengannya hanyalah usaha menghancurkan peradaban keilmuan Islam yang telah terbina selama lebih seribu empat ratus tahun lamanya. Bahkan ia juga merupakan satu pukulan untuk mencacatkan wajah dan nilai substantif Islam itu sendiri seraya menafikan lebih daripada separuh kandungan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sepertimana yang diwarisi dari para sahabat, tabi’inselepas mereka dan juga tabi' tabi’in yang mengikuti metod yang sahih yang mereka pelajari daripada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam itu sendiri.

Dr Maszlee Malik adalah Pensyarah di Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau juga merupakan Ahli Dewan Perwakilan Nasional Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

Salin tampal dari laman web Malaysia Harmoni.

.

No comments:

Post a Comment