Friday, 28 December 2012


Ayuh mahasiswa!! bersama-sama kami dalam program JOM Hijrah sempena malam tahun baru 2013.. program yang berkonsep "street dakwah", kita akan bersama-sama mengedar risalah dakwah di beberapa kawasan terpilih.. Jom mulakan tahun baru kita dengan menolong agama Allah, InsyaAllah Allah akan menolong kita... >__<

Ayuh, jadilah sebahagian daripada aktivis dakwah muda,,
~hantarkan nama penuh serta no fon anda di ruangan messages page ini atau tinggalkan komen untuk kami hubungi anda..

~GAMIS Melaka:::Inspirasi Anak Muda Melaka::::

Friday, 14 December 2012

PENDIRIAN GAMIS TERHADAP SISTEM PENGUATKUASAAN AUTOMATIK (AES)


Sejak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diperkenalkan pada 23 September 2012, banyak rungutan dari pengguna jalan raya. Hal ini kerana, kadar kompaun yang dikenakan ialah minimum RM300. Jumlah ini, adalah sangat besar bagi seorang bergelar MAHASISWA.


Pelaksanaan AES pula mencakupi aspek kesalahan:

1) Tidak mematuhi lampu isyarat
2) Memandu melebihi had laju



Persoalan yang ingin ditimbulkan:

1) Apakah kemalangan hanya berlaku disebabkan pemanduan melebihi had laju?

2) Bagaimana pula dengan pemanduan pada lorong yang salah?

3) Bagaimana keadaan infrastruktur jalan dalam negara? Air bertakung di jalan? Jalan yang tidak diturap rata?

GAMIS menyokong 100% usaha kerajaan mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. Cuma, kerajaan perlu lebih kreatif untuk mengenali masalah. Dengan meletakkan asas kelajuan sebagai punca kemalangan semata-mata, maka, kewujudan AES menjadi statik.

Malahan,cara ini dilihat lebih kepada ingin mendenda dari menyelesaikan masalah.

Jika inginkan pemandu menjaga disiplin dan etika ketika pemanduan, GAMIS mencadangkan agar Malaysia mencontohi Korea. Contohnya di Korea dalam tahun 1990-an, sepanjang jalan raya utama ada polis memantau pemandu agar berdisiplin. Memandu beberapa kilometer kita akan jumpa polis. Hal ini lebih berkesan dan efektif memandangkan Malaysia mempunyai bilangan polis trafik yang sangat ramai di seluruh Malaysia.

GAMIS memohon pelaksanaan AES disemak semula. Kadar kompuan minimum RM 300 ADALAH SANGAT BESAR bagi mereka yang bergelar MAHASISWA.

GAMIS suara MAHASISWA!

Saya yang benar,
Muhammad Azan Safar,
Presiden GAMIS.

Friday, 23 November 2012

GAMIS KINI DI RADIO



Presiden GAMIS Malaysia dijemput untuk hadir ke konti radio IKIM.fm dalam mengupas isu keprihatinan kita kepada GAZA. Semoga penyampaian ini didengari oleh setiap golongan masyarakat terutama golongan mahasiswa untuk terus menyuarakan bantahan pada kekejaman ISRAEL laknatullah. Moga GAMIS terus menjadi rujukan mahasiswa dalam memimpin pemikiran dan suara MAHASISWA ISLAM.

-unit penerangan GAMIS MELAKA

Friday, 16 November 2012

Apa kata GAMIS ??



Tugas ini bukan sahaja perlu diletakkan di atas bahu GAMIS semata-mata . Anak-anak muda ISLAM perlu bersatu untuk menyokong penuh suara yang dibawa ini untuk terus membela sahabat kita di GAZA yang dibunuh sesuka hati oleh rejim zionis laknatullah . Bersama kita doakan agar suara mereka dan suara kita sebagai mahasiswa sayang ISLAM didengar oleh pihak yang lebih perlu bertanggungjawab.

-UNIT PENERANGAN GAMIS MELAKA

Thursday, 15 November 2012

TANGISAN GAZA TANGISAN KAMI !


GAMIS MELAKA menyokong penuh tuntutan yang akan dibawa GAMIS Pusat dalam membela Gaza.
Antara tuntuan itu ialah


1) Mengadakan pertemuan bersama kedutaan Turki dan Mesir untuk memastikan bantuan diberikan sepenuhnya buat umat Islam di Ghazzah. 
2) Menuntut UN agar menghentikan serangan Israel ke atas Ghazzah. Memorandum akan diserahkan ke pejabat UN Kuala Lumpur. 
3) Meminta agar Menteri Luar Malaysia menyatakan pendirian bahkan berusaha untuk bertindak membantu umat Islam di Ghazzah.
4) Mengadakan demonstasi besar-besaran di hadapan Kedutaan Amerika sebagai protes terhadap kezaliman Amerika dan Israel terhadap Ghazzah


"Tangisan GAZA tangisan kami !'

-UNIT Penerangan GAMIS melaka 

Pimpinan GAMIS PUSAT sesi 2012/2013



Barisan Kepimpinan Gamis Sesi 2012/2013

Presiden : Muhamad Azan Safar (UKM)
Timbalan Presiden : Mohd Eikhwan Bin M.Ali (UIA)

Pengerusi SIGMA : Aqilah Mukhtar (UPM)
Timbalan Pengerusi SIGMA : Nur Adiela Kamarizzaman (UIA)

Naib Presiden (Strategik & Mobilasi Massa) : Syis Abd Kadir (UM)
Naib Presiden (Jaringan Kampus) : Mohd Faiz Ismail (UPSI)

Setiausaha : M.Farid Hadhari M.Rusdi (USIM)
Timbalan Setiausaha 1 : Adilah Hafizah Abd Halim (UPSI)
Timbalan Setiausaha 2 : Hamiza Hani Omar (UKM)

Bendahari : M.Nazrin Bin M.Zohir (KUIS)
Timbalan Bendahari : Nur Liyana Omar (UKM)

Ketua Penerangan : Mohd Khairul Izzaz B. Ismail (UIA)
Timbalan Penerangan : Siti Rabiatul Adawiyah (UM)

Majlis Politik Nasional :
Pengerusi: Ahmad Afif Zulkipli (UKM)
Timbalan: Sofwatul Aufa Bakri (UM)

Majlis Dakwah dan Kebajikan :
Pengerusi: Mohd Syakirin Bin Md Zahar (UPM)
Timbalan: Atikah Abd.Rahman (UIA)

Majlis Tarbiyah dan Kepimpinan Nasional :
Pengerusi: Muhd Afdzal Shahabuddin (USIM)
Timbalan: Siti Fatimah Rosli (UM)


"semoga ALLAH membantu mereka dalam terus memimpin pemikiran Mahasiswa ISLAM "

-UNIT Penerangan GAMIS MELAKA

Salam MA'AL HIJRAH 1434



SALAM MA'AL HIJRAH 1434H dari kami GAMIS MELAKA (GAMA)

Semoga tahun ini menjadi tahun yang lebih baik untuk kita dari tahun sebelumnya. Semoga ALLAH terus memberi hidayah kepada kita dalam menempuhi ranjau hidup di atas muka bumi ALLAH ini.

Tatkala kita pandang pada tahun 1433H , lihat berapa banyak dosa kita yang telah kita lakukan. Semoga ALLAH mengampunkan dosa diri kita yang sentiasa ingkar dan tidak terlepas dari melakukan dosa.
ALLAH berfirman,

"Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. Az-Zumar: 53)

Tahun Hijrah baru ini marilah kita bersama-sama berhijrah dari buruk kepada baik , dari baik kepada lebih baik. Semoga tahun hijrah kali ini memberi peluang kepada kita untuk terus bersama mematuhi perintah ALLAH dan meninggalkan segala larangannya. 

-UNIT Penerangan GAMIS cawangan MELAKA

Saturday, 18 August 2012

Ucapan Syawal : Istimewa dari Pengerusi Gamis Melaka


Bismillahirrahmanirrahiim..


Alhamdulillah , lafaz kesyukuran kita panjatkan kepada Allah s.w.t atas segala nikmat yg diberikan kepada kita selaku hamba-hambaNya dan kita masih diberi kesempatan menjadi tetamu ramadhan 1433H kali ini yg hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum tibanya Syawal 1433H.

“ Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur.” (Surah al-baqarah ayat 185)

Walaupun kita diambang pengakhiran Ramadhan yang semestinya setiap daripada kita ternanti-nanti akan tibanya Syawal,  saya berharap kita semua tidak lupa dan alpa berkaitan dengan pesanan-pesanan bahkan mesej utama dalam bulan Ramadhan agar menjadikan bulan Ramadhan sebagai madrasah tarbiyyah yang mampu membentuk peribadi muslim yang bertaqwa dalam diri kita. Sama-sama kita muhasabah samada kita berjaya membentuk transformasi ramadhan dalam diri kita ataupun tidak.  Begitu juga saya berharap agar kita sama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan saudara seislam kita di luar sana yang hidup dengan kepayahan bahkan ditindas lagi dizalimi oleh musuh-musuh islam.

Di sini saya dan barisan kepimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia cawangan  Negeri Melaka ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Eidul Fitri kepada semua sahabat-sahabat muslimin muslimat di seluruh Malaysia. Semoga kita kembali kepada diberi peluang untuk menjadi tetamu ramadhan yang akan datang. 



Wassalam.












Razman Bin Roslee

Pengerusi Gamis Melaka

Thursday, 24 May 2012

Debat PTPTN: Per juang Hak Mahasiswa





Kehangatan isu pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma seperti yang ditawarkan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih terasa terutama sekali dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara.

Namun, isu ini telah dijelaskan dengan penuh kematangan dan intelektual di dalam perdebatan antara dua tokoh anak muda yang penuh kredibiliti iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik PKR.

Perkara utama yang ingin ditekankan di sini ialah, mahasiswa lebih fokus dengan tawaran pemansuhan PTPTN dan pendidikan percuma, bukan parti politik. Pihak GAMIS cawangan negeri Melaka yakin bahawa isu ini bukan untuk dipolitikkan akan tetapi isu ini benar-benar memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat khususnya bagi mahasiswa.

Merujuk kembali kepada kandungan Deklarasi Inspirasi Anak Muda (INSPIRASI) yang dilancarkan oleh GAMIS Pusat pada 25 Mac lalu, isu yang dibawa oleh debat ini selari dengan salah satu jajaran iaitu dalam membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian.

Kematangan panelis dalam bersemuka dan berhujah memberikan satu nafas baru dalam senario politik tanah air. Selama ini debat dipandang tidak sihat oleh sesetengah pihak tetapi debat PTPTN telah membuktikan sebaliknya. Kedua-dua pihak BN dan PR yang selama ini dilihat seteru kuat mampu untuk berdiri sepentas malah turut bersetuju dalam beberapa perkara yang membabitkan isu pendidikan tinggi tanah air.

Perkara ini turut diakui oleh moderator debat yang juga pensyarah UIA, Dr Maszlee Malik. Beliau menyatakan debat seperti ini akan tercatat di dalam makalah demokrasi tanah air. Debat intelektual seperti ini menunjukkan Malaysia semakin bergerak ke arah politik baru yang berakarkan integriti.

Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) cawangan negeri Melaka menyokong penuh usaha pihak penganjur iaitu Sinar Harian dalam menyediakan medium seperti debat yang mampu menarik perhatian ramai bukan sahaja kerana kehadiran tokoh utama malah mendatangkan maklumat yang adil dan pertama terus dari sumber.

Tahniah diucapkan kepada kedua-dua tokoh ini dan juga pihak penganjur kerana mampu memberi pencerahan minda bukan sahaja kepada mahasiswa itu sendiri malah membuka jelas pemikiran ibu bapa mengenai perjuangan sebenar mahasiswa dalam pemansuhan PTPTN dan pemberian pendidikan percuma.

-Majlis Politik Nasional GAMIS MELAKA-

Friday, 11 May 2012

Untukmu Ibu, Cukupkah Sehari Dalam Setahun?

Untukmu Ibu, Cukupkah Sehari Dalam Setahun?


Menjelang bulan mei ini, kita akan dapat melihat pelbagai “update status” dalam facebook tentang anak-anak prihatin yang berhasrat menyediakan hadiah sempena hari ibu. Apabila tanggal 13 mei semakin hampir, pusat membeli belah pasti akan menjadi pilihan kebanyakan anak-anak ini sebagai destinasi memulakan pencarian hadiah yang terbaik untuk dihadiahkan kepada ibu tercinta sebagai simbol kasih sayang mereka. 

Namun begitu, terdapat suatu isu utama yang tidak boleh kita abaikan mengenai sambutan hari ibu ini. Hal ini bukanlah baru diperkatakan bahkan telah dibahaskan sejak sekian lama iaitu tentang status sebenar bagi umat islam meraikan hari ibu. Seperti yang telah ditegaskan oleh kebanyakkan ulamak, hari ibu adalah haram sambutannya bagi umat islam. Mendengarkan kenyataan seperti ini, maka pelbagai reaksi dan ekspresi yang dizahirkan oleh segolongan masyarakat yang begitu prihatin tentang sambutan hari ibu. 

Ada yang menerima pernyataan ini dengan hati yang terbuka dan mengakui kebenarannya, namun, ada juga sekelompok masyarakat yang melatah dan mendakwa pernyataan tersebut hanyalah sebuah retorik. Maka pelbagai analogi dan perbandingan yang digariskan bagi memastikan pendirian masing-masing 'benar' dan 'halal'.

Mengapakah sambutan Hari Ibu diharamkan?

Isu sebenar pengharaman sambutan hari ibu ini adalah rentetan daripada sejarah kewujudan sambutan ini sendiri. Secara ringkasnya hari ibu adalah sebuah sambutan di Negara Greece yang bertujuan memberi penghormatan khusus buat ibu kepada tuhan mereka, Rhea. Sekitar tahun 1600, bagi memberi penghormatan kepada mother Mary, masyarakat Eropah menyambut “mothering Sunday” dengan berhenti makan dan minum makanan atau minuman tertentu atas alasan keagamaan. 

Kesinambungan kepada sejarah silam ini, sekitar tahun 1907, Anna Jarvis dari Philadelphia telah berjaya mempengaruhi Mother’s church agar melancarkan hari ibu dan pelaksanaannya adalah pada ahad minggu kedua bulan Mei , bersamaan dengan ulang tahun kedua kematian ibunya. Amalan ini terus dijadikan legasi masyarakat Philadelphia dan telah menular keseluruh dunia. Kebanyakkan masyarakat dunia islam mengadaptasi budaya ini secara tidak langsung tanpa menyedari hakikat sebenar sambutan hari ibu diperkenalkan.

Dengan bersandarkan hadis yang didatangkan dari Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“ Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka” 

Maka penekanan terhadap pengharaman hari ibu perlu dipraktiskan oleh umat islam sejagat, bukan hanya umat islam di Malaysia sahaja. Hadis ini amatlah jelas menyatakan bahawa Rasulullah SAW amat tidak menyukai sesiapa dari kalangan umatnya mengadaptasi amalan-amalan dari kaum bukan islam. Apatah lagi jika amalan tersebut boleh memberi kesan kepada akidah kita umat islam secara tidak langsung.

Syeikh Hamid Al-Attar (Ahli kesatuan Ulama’ Islam Sedunia) berpendapat bahawa sambutan hari ibu itu akan jatuh makhruh dan tidak jauh dari haram jika tarikh sambutannya menyerupai amalan orang bukan islam (ahad minggu ke-2 bulan mei) kerana ia akan menyerupai perayaan orang-orang bukan islam. Penekanan ini adalah berlandaskan beberapa hadis Rasulullah yang melarang umatnya menyerupai ahli kitab.

Berikut sedutan dari kuliyah Ustaz Azhar Idrus mengenai hukum ini,


Realiti Penghargaan Seorang Anak

Cuba kita jejakkan kaki di hospital-hospital (hospital kerajaan utamanya), kita akan melihat suatu kondisi yang akan menzahirkan perbezaan kasih seorang ibu dan sayang seorang anak. Kita boleh melihat di katil-katil yang didiami oleh warga emas yang sangat uzur, adalah sangat jarang akan ada bekas makanan yang dibekalkan dari rumah mahupun seorang peneman setia di setiap ketika. 

Kebiasaanya hanya diwaktu cuti atau hujung minggu sahaja mereka-mereka ini akan diziarah secara sepenuh masa. Sedangkan, dalam kondisi yang uzur dan kudrat yang ada tidak seberapa, mereka ini sangat memerlukan perhatian dari seorang anak untuk menguruskan kehidupan sehari-hari mereka. Berbeza pula situasi di katil-katil yang didiami oleh anak-anak yang masih mempunyai orang tua. 

Setiap hari bahkan ada yang setiap kali waktu makan, akan ada makanan yang dibawa dari luar atas alasan bimbang makanan yang disediakan oleh pihak hospital tidak membangkitkan selera si anak yang sedang sakit. Tidak cukup dengan makanan, akan ada si ibu yang akan menjadi peneman setia yang sabar dan tegar tidur berkatilkan kerusi demi memastikan keadaan si anak dalam keadaan terurus dan selesa semaksima mungkin. Di tambah pula dengan pelbagai ragam dan karenah semua anak-anaknya cuba dipenuhi. Jika si ibu tidak mampu menghadirkan diri, akan dipastikan juga akan ada seseorang yang menjadi pengganti. Nah, fikirkan perbezaan ini kerana inilah realiti masa kini.


Setiap Hari Adalah Peluang

Jika seorang ibu mampu menginfakkan 24 jam sehari bagi memastikan kebajikan dan kebaikan anak-anak, mengapa pula kita yang seorang anak menunggu tarikh yang hanya sekali dalam setahun bagi menunjukkan kecintaan dan penghargaan kita kepada seorang yang bergelar ibu. Penghargaan kepada ibu haruslah dilakukan setiap hari, bahkan setiap saat. 

Sepertimana seorang ibu yang tidak kenal erti lelah mengasuh kita seorang anak, kita juga tidak perlu mengenal detik masa tertentu bagi mengekspresikan perasaan kita terhadap ibu tercinta. Setiap hari yang kita miliki sebenarnya adalah sebuah ruang dan peluang untuk kita mencurahkan kasih sayang dan penghargaan kita kepada ibu tercinta. Jangan lah kita menjadikan batasan masa dan lokasi sebagai satu alasan bagi menutup kekhilafan kita terhadap hak ibu kita sendiri.

Jika kita boleh menghabiskan ratusan ringgit untuk barangan berjenama, membeli telefon bimbit model terkini serta juga menghabiskan puluhan ringgit setiap bulan membayar bil internet, jadi tidak ada salahnya kalau kita menginfakkan sekadar 50 sen sehari untuk menghubungi ibu bertanya khabar dan bertukar cerita. Sekiranya menelefon itu juga masih beban kepada kita, pesanan ringkas setiap hari sebagai ingatan juga amat memadai sebagai tanda ingatan kita. Perhatian dan ingatan setiap hari itu adalah lebih bermakna kepada seorang ibu daripada hadiah berjenama yang diterima setahun sekali.

Semoga penghargaan kita kepada ibu kita bukan lah sekadar ucapan klise yang kita saratkan dengan simbolik perasaan dan air mata setiap setahun sekali. Penghargaan kepada ibu adalah lebih dari tas tangan mahupun jam tangan berjenama. Penghargaan yang terbaik adalah bila kita mampu menyelaraskan tindakan kita dengan setiap kata-kata dan janji yang kita taburkan kepada ibu kita sendiri. Jangan lah kita jadikan perkataan kita hanyalah sebuah omongan kosong yang dijadikan rencah tambahan bagi menampakkan rasa cinta kita kepada seorang ibu.

Ayuh semua anak muda! Kami Sinergi Gerakan Mahasiswi Gamis cawangan Melaka mengajak kita semua agar menjadikan setiap hari dalam hidup kita adalah HARI IBU. 

" Seorang ibu mampu menjaga, memelihara 9 orang anaknya namun 9 orang anak belum tentu mampu menjaga dan memelihara ibunya kelak, mari menjadi anak SOLEH dan SOLEHAH "



Oleh,

Sinergi Gerakan Mahasiswi,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Cawangan Negeri MELAKA 

Wednesday, 9 May 2012

Poster : Islam Agama Perjuangan



Semua harus ingat betapa dunia ini hanyalah sementara. Satu hari nanti ia akan lenyap. Justeru segala perbuatan kita ini diperhatikan. Segalanya akan diperhitungkan di akhirat kelak. Untuk itu, hanya Islam sahaja yang mampu menyelamatkan manusia sama ada di dunia mahupun akhirat kelak.

Di samping itu harus diingat betapa cabaran pasti ada. Alalh SWT menciptakan dunia ini dengan cabaran. Baginda Rasulullah SAW sendiri mendapat cabaran dan tentangan dalam perjuangannya termasuk daripada bapa saudaranya sendiri.

Bagaimana pun cabaran, ini bukan penghalang dalam perjuangan gerakan Islam. Gerakan Islam harus berpegang teguh dengan Islam yang satu. Berpegang teguh kepada Islam yang datang dari Allah itu adalah satu-satu cara untuk terus kekal dalam perjuangan ini.

GAMIS Melaka mengajak seluruh anak-anak muda dan mahasiswa khususnya untuk sama-sama manfaatkan usia kita yang sangat singkat ini untuk menggalas sebuah amanah dan tanggungjawab agama yang telah Allah SWT berikan ke atas kedua pundak kita selaku khalifah. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk terus-menerus memperjuangkan Islam yang suci ini.

Oleh,

Timbalan Pengerusi,
GAMIS Cawangan Melaka.

Monday, 7 May 2012

Gen Y : Kurang berbisa, perlu tambah perisa!

“ Peradaban selalu bermula dari gagasan. Peradaban besar selalu lahir dari gagasan-gagasan besar. Dan gagasan besar selalu lahir dari akal-akal raksaksa”.



Itulah petikan dari buku “ Dari Gerakan Ke Negara” tulisan M Anis Matta, salah seorang daripada aktivis PKS Indonesia. Bagaimana masa hadapan negara kita kelak juga bakal ditentukan oleh akal-akal raksaksa milik tanah air Malaysia ini. Persoalannya bagaimanakah generasi muda atau singkatannya Gen Y yang tercetak ini mampu melahirkan akal-akal raksaksa sekaligus tindakan-tindakan luar biasa? Persoalan terus berlegar apakah kita berupaya menjadi generasi yang mampu mempertahankan maruah dan kewibawaan dalam menghadapi suasana hari ini yang pelbagai mehnah dan tribulasi? Juga adakah setiap tindakan yang kita unjurkan dengan memelihara nilai dan prinsip Islam? 

Anda adalah 'MUTIARA'



Generasi hari ini perlu bertindak pro-aktif dalam memberi respond terhadap isu-isu negara samada aspek politik, ekonomi dan sosial. Maka pelbagai tuntutan timbul demi memastikan masa depan sebuah negara terjamin dan terpelihara. Sebagaimana kata Ulama' Muktabar mutaakhir ini, Prof.Dr.Yusuf Al-Qardhawi bahawa generasi muda adalah merupakan aset terpenting ummat, beliau umpamakan generasi ini ibarat 'MUTIARA' yang menjadi perbendaharaan negara. Namun begitu sayang apabila 'MUTIARA' ini tidak digilap sebaiknya dan menjadi lusuh dan malap sebelum waktunya.

Mengapa dikatakan sedemikian, kerana kita melihat hari ini generasi muda terbahagi kepada dua golongan iaitu peduli dan tidak peduli sebagaimana yang disentuh oleh Ustaz Hasrizal dalam penulisannya mengenai isu ini. Pun begitu, masalah menjadi lebih meruncing apabila golongan peduli ini juga turut berpecah kepada golongan yang faham dan bersemangat memperjuangkan kebenaran berlandaskan garis panduan syari'at. Kemudian sebahagiannya pula golongan yang bersemangat tanpa fahaman yang jelas atas landasan syari'at yang kukuh. Inilah yang merugikan perjuangan ini, menjadikan generasi muda hari ini kurang berbisa kerana masih tidak mampu mempunyai 'wehdatul fikr' iaitu kesatuan fikrah. Maka lahirlah tindakan-tindakan yang berbeza syari'at namun berkiblatkan matlamat yang sama.

Hal ini amat merugikan, maka perlu untuk kita sama-sama perbaiki supaya generasi muda mampu lebih berbisa!

PERISA 1 : Sinergi Tarbiyah, Siasah, Dakwah


Bagi menyelesaikan polemik ini, sangat pelu disinergikan 3 elemen utama dalam prinsip perjuangan, iaitu TARBIYAH, SIASAH, dan DAKWAH. 3 perkara ini menjadi elemen yang sangat penting dalam memberi kekuatan pada diri mahupun jemaah. 

Pemimpin Gen Y perlu memantapkan aspek tarbiyyah dalam diri kerana Tarbiyyah adalah tunjang kekuatan diri mahupun sesebuah jemaah. Sedar atau tidak, tarbiyah yang konsisten mampu membina kekuatan dalaman dalam diri seseorang dan kelangsungan jemaah. Apabila para pejuang Gen Y selesai bab ini, dalam elemen tarbiyah ruhiyyah, aqliyyah, jasadiyyah, siyasiah dan seterusnya mampu dihadam maka terbentuk suatu generasi muda yang mempunyai ikatan Tauhidullah yang utuh. Maka ikatan aqidah atas kefahaman yang jelas inilah, yang akan memimpin semangat generasi muda agar bertindak secara luar biasa dengan akal-akal raksaksa itu tanpa segan silu memberi imej yang baik kepada Islam.

Tatkala segala elemen tarbiyah ini disepadukan, maka sudah pasti pembawaan dakwah dan sisasah menjadi sangat baik dan terpuji. Golongan yang sentiasa rela ditarbiyah dan mentarbiyah akan membawa mentol dakwah dan siasah ini di mana sahaja, selagi mampu meletakkan keadilan Islam di puncak tertinggi, Maka pasti hairan jika masih ada golongan yang bisu dan kaku dalam membawa dakwah jika telah menghayati perisa 'Tarbiyah' ini. Untuk ini, perlu muhasabah kembali dan semak amalan diri serta niat.

PERISA 2 : Ikhlas ibarat garam dan gula


Apa ada pada rasa menu dan sajian sekiranya tiada garam dan gula dalamnya? 

Begitulah hal yang sama kepada pejuang generasi muda hari ini, berjuang dan bersemangat berhempas pulas demi sebuah keadilan namun sekiranya tidak ikhlas, maka perjuangan ini tidak akan panjang, mati sebelum sampai penamat. Nabi S.A.W bersabda (maksudnya), 

"Sesungguhnya Allah Taala tidak akan menerima amalan kecuali apa yang dibuat dalam keadaan ikhlas, berkeinginan kepada wajahNya" (Sahih Al Bukhari, no 97, kitab al Ilm)

Terdapat sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa;


Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka, "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?


Jawabnya, "Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid".
Dibalas, "Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar - pejuang yang berani".


Setelah dikatakan begitu, lalu ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Ditanyakan pula kepada (orang kedua), "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?


Jawabnya, "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al Quran".


Dijawab semula, "Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘alim, kamu membaca Al Quran agar digelar qari".


Setelah itu, ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. Kemudian ditanyakan kepada (orang ketiga), "Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?


Jawabnya, "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"


Dijawab semula, "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar dermawan". Lalu dia telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka. (Riwayat Muslim, no:3527, Kitab Al Imarah).


Gen Y haruslah setiap hari mensucikan niat agar semangat yang tinggi untuk menentang kemungkaran dan kezaliman ini bukan semangat kosong bahkan benar-benar ikhlas dalam menyampaikan. Hanya apabila ikhlas, jika diberi teguran akan diterima bahkan bersyukur atas teguran yang diterima.Maka pasti lahir golongan Gen Y yang mempunyai kualiti akhlak yang terpuji lantas menjadi role model buat mereka yang lain.

PERISA 3 : Berstrategi & Berpandangan jauh


Seorang anak muda wajarlah mempunyai pandangan yang tajam, kritikal dan mampu berpandangan jauh. Tindakan hari ini mampu memberikan impak di kemudian hari. Maka tidak cukup dengan semangat yang membara, perlu diikat kemas dengan strategi yang mantap. Memetik kata-kata Saidina Ali,

" Kebenaran yang tidk terancang mampu dikalahkan oleh kebatilan yang terancang "

Ini adalah merupakan aspek terpenting dalam pergerakan dan percaturan para pejuang agar kesan yang timbul adalah efektif. Yang pasti, setiap tindakan akan ada kesannya; maka atas sebab itu para Gen Y perlu merangka dengan baik segala perancangan dengan mengambil  kira segala aspek. 

PESAN ABDULLAH NASIH ULWAN BUAT PEMUDA



ABDULLAH NASEH AL-ULWAN dalam bukunya ‘Membina Generasi Muslim Ideal’ atau Hatta Ya’lama Syabab menggariskan beberapa keistimewaan dan sifat asasi yang perlu dimiliki buat pemuda-pemudi Islam.


Iman yang mantap, tidak goyah dan lemah
Ikhlas dan murni dalam amal & tindakan
Semangat keinginan yang membuak-buak dalam menggapai visi & cita-cita
Iltizam & komitmen yang tidak kenal erti penat & lelah
Pengorbanan yang tulus dan bersungguh-sungguh.






Oleh,

Majlis Tarbiyah dan Kepimpinan
Gamis Cawangan Melaka

Wednesday, 2 May 2012

SELAMAT HARI PEKERJA SEDUNIA


                                     
                1 MEI SEJARAH HARI PEKERJA SEDUNIA DIHARGAI

Hari Pekerja atau Hari Buruh merupakan salah satu cuti tahunan yang jatuhnya pada pada 1 MEI setiap tahun. Hari ini disebut juga sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, yang mana ia merupakan peringatan tentang kejayaan ekonomi dan sosial bagi sesebuah negara. Seluruh dunia meraikan hari pekerja demi memperingati jasa mereke yang telah banyak berjasa dalam perkembangan ekonomi Negara.

       Tahukah sahabat-sahabat sekalian,ia merupakan perjuangan buruh dari serata dunia. Suatu ketika dahulu , hari pekerja ini bermula perjuangan buruh dalam usaha untuk bekerja sehari hanya 8 jam sahaja berbanding dahulu mereke bekerja selama 15 jam.

      Persidangan antarabangsa pertama telah diadakan di Gavena dalam mengemukakan slogan bekerja 8 jam sehari. Ini menyebabkan satu mogokkan besar-besaran yang diadakan pada 1 MEI 1886 di Chicago,Amerika Syarikat. Dengan perjuangan mereke ini,hasilnya hingga ke hari ini,kebanyakkan buruh bekerja dalam lingkungan 8 jam dalam sehari.Peristiwa ini berulang semula ,pada JULAI1889 di Paris,dan mengambil keputusan 1Mei merupakan hari pekerja sedunia.

      GAMIS MELAKA bersama perwakilan mahasiswa kampus sekitar Melaka bersama turun bersama-sama masyarakat sebagai tanda penghargaan. Kami telah menjalan aktiviti mengedarkan button bedge,sticker,kad dan cenderahati di beberapa lokasi seperti Melaka Central,Mahkota Parade, dataran Pahlawan dan Hospital Melaka.


      Alhamdulillah, kehadiran kami disambut baik oleh golongan pekerja seperti pemandu bas dan teksi, doktor, pekerja kedai, dan masyarakat yang berada berdekatan lokasi. Ada diantara mereke, mengambil kesempatan beramah mesra bersama kami salaku wakil mahasiswa menghargai jasa mereke. Apa yang mereke kerjakan adalah demi kebaikan kita semua. Sebagai contoh, seandainya semua pemandu bas dan teksi bercuti pada hari tersebut, tidak dapatlah masyarakat yang menggunakan kenderaan awam untuk bercuti. Mereke berkhidmat demi kesenangan orang lain. Oleh sebab itu,GAMIS MELAKA mengambil keputusan, hari pekerja ini harus diberi penghargaan yang tinggi.

       Sahabat-sahabat yang sukarela bersama membantu kami menyatakan suatu keseronokkan bila berada di medan lapangan yang sebenar. Ini memberi peluang untuk mereke mempraktikkan “softskill” yang selama ini dipelajari secara langsung dan tidak langsung. Ada diantara mereka menyatakan, bila bertemu dengan masyarakat, sesetengah daripadanya melarikan diri. Kemungkinan besar masyarakat sudah terkena dengan tipu helah sesetengah penjaja jalanan yang tidak bertanggungjawab. Tetapi di atas keberanian dan kebijaksanaan sahabat-sahabat yang bersama kami, mereke cuba meyakinkan bahawa kehadiran kami hanyalah untuk menghargai masyarakat sempena hari pekerja dan memberi cenderahati secara percuma.

       Sahabat-sahabat yang diluar sana, anda juga dijemput bersama-sama kami dalam menggerakkan GAMIS MELAKA dan boleh melawati “page facebook “ kami bagi mengikuti perkembangan semasa program GAMIS MELAKA, kehadiran sahabat-sahabat sekelian bersama-sama kami ,amatlah di alu-alukan.



Monday, 30 April 2012

BERSIH 3.0 : Sudut pandang Gamis Melaka

BERSIH 3.0 : KAMI TIDAK KATA MENOLAK KERAJAAN

Dari Gamis Melaka menyokong pelaksanaan BERSIH 3.0

Bersih 3.0 : Dari perspektif gerakan mahasiswa Melaka

Atas permintaan dari pelbagai pihak dan dikaji dengan penuh teliti dalam pelbagai sudut, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia cawangan MELAKA (GAMA) akan mengupas isu yang sedang hangat diperkatan iaitu BERSIH 3.0. 

Peristwa bersejarah dalam negara, pada 28 april yang lepas telah membuka ruang yang luas buat pihak media. Dengan bantuan media inilah membuatkan ramai rakyat sama ada dalam atau luar negara dapat mengikuti perkembangan sebelum, semasa sehinggalah selepas pelaksanaan BERSIH 3.0 ini. Sudah tentu, pandangan daripada pihak yang berada di tempat kejadian itu berbeza daripada mereka yang tidak berada di sana. Mereka yang hanya mendapatkan berita terus daripada media, terutamanya di media arus perdana, belum tentu berita yang diterima itu benar atau sebaliknya. Dahulu, warna kuning merupakan warna kebanggaan rakyat juga warna kerabat diraja. Hari ini sedar atau pun tidak, kuning menjadi satu warna ancaman pada kerajaan. 

Percaya atau tidak, hakikatnya ramai yang menyangka bahawa BERSIH 3.0 ini telah menjatuhkan imej negara. Namun begitu, perkara pokoknya BERSIH 3.0 ini adalah cadangan sejumlah rakyat Malaysia kepada pemimpin negara supaya dipertimbangkan dan dipraktikkan dalam pilihanraya yang bakal menjelma tidak lama lagi (PRU13). Apabila suara-suara ini tidak dipedulikan, rakyat yang kini sedar mengkaji semula perlembagaan negara tentang akta kebebasan bersuara dan berhimpun. Kami tidak bersetuju ia dikatakan bersih propaganda politik dari pakatan rakyat (PR) semata-mata. Mana-mana individu inginkan keadilan, bila mana sesuatu itu tidak diletakkan ditempatnya, maka ia didalam kelompok yang zalim.

Kerajaan Perlu Terima Hakikat

Pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepada kerajaan, isu NFC, LYNAS, pertambahan daftar undi melebihi bilangan penduduk sebenar, penyelewengan duit rakyat, pecah amanah dan bermacam-macam lagi. Jika ia benar-benar tuduhan dan fitnah dari pakatan rakyat, kami berbangga dengan pihak-pihak tertentu tampil bersama-sama rakyat untuk membuat penjelasan.

Hari ini, rakyat mula bangkit dan mampu mengenal antara kebenaran dan penipuan. Puluhan ribu atau mungkin ratusan ribu rakyat berbilang bangsa dan agama, inginkan masa depan negara ditentukan dengan kuasa penuh oleh rakyat sendiri sebagaimana yang diamalkan dalam prinsip demokrasi berpelembagaan. Dalam isu masa depan negara, mahasiswa yang benar-benar sayangkan negara, akan bersama-sama menentukan hala tuju pemerintahan negara demi masa depan kelak. Kami inginkan sistem demokrasi yang benar-benar adil dalam perlaksanaannya. Sebagaimana yang diujarkan oleh Professor Ungku Aziz, 

" Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.." 

Tidak ada makna jika cemerlang dalam pelajaran, saat tiba masa untuk berkhidmat pada negara, kita berhadapan negara yang ekonomi dan sistem pentadbirannya dalam keadaan tidak teratur. Walaupun hakikatnya akedemik adalah keutamaan bagi seorang mahasiswa, maka sedarlah inilah hasil pencapaian akademik saat dipraktikkan. Maka, jangan lahirkan mahasiswa jika takut golongan intelektual bersuara.

Sekitar BERSIH 3.0 semasa dan selepas

Perhimpunan aman bersih ini bertemakan duduk bantah. Menurut dari saksi yang berada ditempat kejadian, perhimpunan bermula sejak awal pagi lagi. Rakyat berpusu-pusu memenuhi Kuala Lumpur di beberapa kawasan dengan pelbagai cara dan helah demi mengelakkan dari ditahan oleh pihak berkuasa, polis. Selawat dan takbir dilaungkan dan disahut beramai-ramai. Azan zohor berkumandang, semua peserta bersih memberi penghormatan. Yang menarik perhatian kami,bilamana golongan bukan islam memberi ruang dan menjaga muslim untuk mendirikan solat. Manakala pihak polis sedang mengawal keadaan, dan tiada provokasi dilakukan pada asalnya. 

Persoalannya, tidak timbul isu tawaran stadium oleh PM tetapi kenapa perlu menghalang rakyat untuk berhimpun di Dataran Merdeka? Jika dikatakann akan merugikan peniaga di kawasan terdekat, terdapat deretan kedai dibuka, malah laris berkali ganda dari hari-hari biasa. Pihak polis menutup beberapa jalan utama yang dikawal dengan senjata tertentu. Keadaan perhimpunan itu bemula dengan aman sejak awal pagi, bertukar kucar-kacir dengan sekelip mata apabila polis menyebur air (water canon) dan gas pemedih mata.

Dengan tindakan pihak polis itu, menimbulkan ketidakpuasan hati dari pelbagai pihak. Tidak dinafikan, provokasi dari pihak-pihak tertentu membuatkan segelintir peserta mengganas, tetapi polis lebih mengganas. (kami tidak mahu mengulas isu ini lebih mendalam, pembaca boleh menilai sendiri dari pelbagai sumber).

Kesimpulan dari Kami GAMIS Melaka

Kami gabungan mahasiswa islam cawangan negeri melaka sekali lagi menyatakan tidak menolak kerajaan malaysia dan berterima kasih atas daya usaha tertentu dalam mentadbir negara, dengan syarat tunaikan kesemua tuntutan dan tujuan asal bersih iaitu mempunyai lapan tuntutan yang telah digariskan BERSIHkan Senarai Undi (Daftar Pemilih), Reformasikan Undi Pos, Gunakan Dakwat Kekal Akses Media Yang Bebas & Adil, Tempoh Berkempen Minima 21 Hari, Kukuhkan Institusi Awam ,Hentikan Rasuah dan Hentikan Politik Kotor.

Kami bersuara demi melihat sebuah negara yang aman dan mempunyai pentadbiran yang bersih dan adil.



Oleh,

UNIT PENERANGAN GAMIS CAWANGAN MELAKA.

Sunday, 22 April 2012

Dilema Pendidikan Percuma

DILEMA PENDIDIKAN PERCUMA

PTPTN : Hapus atau kekal?


Hapuskan PTPTN, hapuskan riba sahaja atau tukar jadi biasiswa bagi yang cemerlang. Bagi kami, itu adalah perkara-perkara teknikal yang kerajaan boleh duduk semeja memikirkan penyelesaiannya mengikut keadaan kewangan negara. Asal saja kerajaan ada political will yang kuat untuk menyalurkan dana negara ke arah matlamat yang lebih penting seperti hak-hak asasi sehingga tercapainya win-win situation.

Perlu difahami mungkin ramai yang melihat isu penghapusan PTPN ini sebagai satu manifesto pihak pembangkang dalam menabur janji. Tidak kurang juga, ramai yang keliru dengan isu ini lebih-lebih lagi bila dilaporkan hutang negara yang banyak dan bakal mengalami bankrupt sekiranya diberikan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia. 

Namun begitu, tidak bagi kami Gamis Melaka melihat sebenarnya terkandung isu tersirat di sebalik penghapusan PTPTN ini. Sebagaimana kami mendokong politik nilai yang dibawakan mana-mana pihak, maka kami mempunyai pandangan terhadap isu PTPTN ini. Sehingga kita terlupa, sebenarnya juga perkara pokok kepada isu ini adalah dilihat bagaimana kerajaan berbelanja dan menguruskan kewangan negara, sehingga MAMPU berhutang sebanyak itu.

Tersirat di sebalik tersurat

Perkara tersirat yang cuba dibawa perlu kita fahami. Satu, sudah cukuplah dengan mentaliti DEB yang telah tertanam kemas di minda rakyat. Bantuan demi bantuan telah diberikan, tetapi akhirnya pelajar tetap malas dan sukar untuk berdiri di kaki sendiri. Inilah dia mentaliti yang telah ditanam sejak sekian lama. Oleh sebab itu masyarakat takut dan ragu untuk bersetuju dengan konsep pendidikan percuma. 

Minda rakyat tidak dididik dengan modal insan kelas pertama, yang penuh dengan daya saing dan nilai etika yang tinggi, seperti yang ingin dicapai dalam Wawasan 2020. Kesannya, prestasi pelajar semakin diragui apabila menuntut agar diberi kesenangan. Bukankah ini juga salah satu tanggungjawab pemerintah, iaitu untuk membentuk acuan pemikiran rakyat? Konsep bersyukur itu, bukankah kerajaan juga yang sudah sekian lama menanamnya?

Dua, siapa yang tidak berang dengan kes-kes dan skandal-skandal politik wang yang dilakukan pemerintah. Di saat ada ramai lagi anak-anak Malaysia yang tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran ataupun bahkan untuk menjinjit beg sekolah pun, skandal-skandal seperti hutang RM580 juta Datuk Tajudin Ramli yang dilupuskan, kes komisen RM500 juta kapal selam Scorpene, kes cincin RM24 juta Datin Rosmah, skandal RM250 juta National Feedlot Corporation Datuk Sharizat dan lain-lain lagi sedang bertiup kencang di arena politik Malaysia. 

Siapa berang, siapa yang tentang?

Apabila pelajar yang berang, sudah tentu ia dikaitkan dengan mendahulukan dana-dana yang dibazirkan itu ke arah pendidikan. Kalau rakyat Sabah yang berang, sudah tentu ia dikaitkan dengan mendahulukan ia ke arah pembaikan jalan raya dan pengembalian tanah adat. Kalau orang miskin yang berang, sudah tentu ia dikaitkan dengan dana-dana kebajikan. Bagitulah senario politik Malaysia yang dilihat pada masa kini, dan ini sudah amat memualkan sehingga terbit penentangan.

Di mana akhirnya, pelajar yang berang dahulu. Dana-dana itu kalaulah disalurkan ke tujuan pendidikan, ramailah anak-anak miskin yang mampu untuk melanjutkan pelajaran, ramailah juga anak-anak miskin yang mampu menikmati pendidikan walaupun yang paling minimal. Kesannya mungkin tidak akan kita rasa sekarang, tapi dalam jangka masa yang panjang. Kesan positif atau negatif itu bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan menguruskannya.

Tindakan hari ini untuk masa hadapan


Impak mereka yang berkhemah di Dataran Merdeka itu sudah kita lihat. Respon-respon dari pihak kerajaan, pembangkang, pelajar dan rakyat berpusu-pusu mengisi laman-laman diskusi, kedai-kedai kopi, bahkan kelas-kelas di universiti. Ada yang kata mereka biadap, ada juga yang kata mereka berani. Biadap atau berani, sama-sama kita fikir apa impak yang berjaya mereka bawa. Akan samakah dengan jalan diplomasi yang sudah berkali-kali ditolak dan disenyapkan?

8 tahun lagi, tahun 2020. Semak balik 9 cabaran yang kerajaan sendiri letakkan. Lagu W2020 yang kita nyanyikan di perhimpunan sekolah dulu akan kita lihat hasilnya tidak lama lagi. Sempatkah kita menyaksikannya? Apakah kami bakal melihat masa depan yang gemilang melahirkan masyarakat yang berpendidikan atau hanya sebahagian? Maka sama-sama kita fikirkan dan lakukan perubahan.




" Inspirasi Anak Muda "

Unit Penerangan,
Gamis Melaka.

Monday, 9 April 2012

Debat Rakyat Melaka : Salah Siapa?




GPMS Melaka Cuba Menyalahkan Seorang Pelajar UTeM atas Fitnah yang Juga Dialami Oleh GAMA?

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Melaka telah bertindak membuat laporan polis terhadap seorang pelajar tahun akhir Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di atas tindakan menyebarkan poster Debat Perdana – Pembangunan atau Pemborosan di laman interaktif Facebook. Pelajar tersebut, Nur Syawana binti Murad juga secara tidak bertanggungjawab telah disifatkan oleh GPMS Melaka sebagai ejen kepada parti pembangkang. Debat Perdana – Pembangunan atau Pemborosan ini ialah debat yang sepatutnya menemukan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Haj Adly Zahari yang bakal diadakan di MITC Ayer Keroh Melaka pada 15 April 2012 ini.

Saya mewakili pihak pimpinan Gamis Melaka (GAMA) ingin menyatakan pendirian kami bahawa kami juga tidak terlibat sedikit pun di dalam penganjuran Debat Perdana ini walaupun seperti yang telah dinyatakan di dalam poster tersebut, debat ini adalah di bawah anjuran bersama GAMIS Melaka (GAMA) dan GPMS Melaka. GAMA, sepertimana GPMS Melaka juga telah difitnah oleh individu-individu yang mungkin bertujuan untuk mencari publisiti percuma dengan menumpang nama GAMA dan GPMS ataupun lebih teruk lagi ingin mengeruhkan hubungan di antara kedua-dua belah pihak.

Selain itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menegaskan kepada masyarakat bahawa sepertimana GPMS Melaka, GAMA juga adalah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang bersifat non-partisan. Kami mengambil posisi neutral dan tidak terlibat dan terikat dengan mana-mana parti politik. Salah satu peranan utama kami ialah mengenengahkan sebarang isu-isu semasa yang berlaku di dalam Negara. Sebagai pimpinan GAMA, kami langsung tidak tahu menahu dengan isu anjuran bersama ini walaupun sebuah poster yang menyatakan demikian telah dibuat dan dimuatnaik oleh individu yang menggunakan nama Tuna Aya di laman interaktif Facebook.

Persoalan saya di sini, apakah perlu seorang yang masih bergelar pelajar disalahkan apabila beliau hanya berkongsi informasi di laman Facebook beliau? Bukankah berkongsi maklumat itu adalah salah satu kegunaan Facebook? Penuntut universiti yang terpelajar dan cakna dengan isu-isu negara sudah semestinya teruja dengan penganjuran debat yang ilmiah dan meraikan tahap intelektualisme mereka, dan sudah tentu juga mereka mahu menyebarkan maklumat yang sama kepada orang lain. Mengapa apabila ia berkaitan dengan isu politik, tambahan pula jika isu itu kononnya memihak kepada parti pembangkang, pelajar universiti terus dikecam sebegini hebat?

Saya mengkritik penerimaan sempit GPMS Melaka terhadap isu ini. Seharusnya isu ini dihadapi dengan realistik dan matang. GPMS Melaka boleh membuat laporan polis terhadap fitnah ketidakterlibatan mereka dalam Debat Perdana terhadap individu yang membuat dan memuatnaik poster ini.  Tindakan reaktif menyalahkan seorang pelajar yang hanya bertindak berkongsi (Share) poster tersebut adalah tidak perlu kerana sepatutnya siasatan untuk mencari pemilik asal poster tersebut perlu dilakukan terlebih dahulu. Bahkan poster itu juga telah disebarkan oleh ramai individu lain.


Pihak GAMA yang juga telah difitnah bersama GPMS Melaka akan secepat mungkin menyelesaikan isu ini. Harapan kami adalah agar individu yang tidak bersalah tidak mendapat impak yang sebegitu teruk di atas perlakuan khianat orang lain. InsyaAllah masalah ini akan cuba diselesaikan dengan baik. Sebagai orang yang terpelajar, marilah kita sama-sama menggunakan akal yang telah dikurniakan dengan sebaiknya. Saya melampirkan juga pautan ke laman yang menyatakan ketidakterlibatan GPMS Melaka di dalam isu ini. Pihak GAMA akan segera bertindak untuk menyelesaikan isu ini. Wallahua’lam.


Thursday, 5 April 2012

SMM: Himpun mansuh PTPTN sebelum BERSIH 3.0

Anak muda dan Mahasiswa inginkan keadilan.  Justeru, kami berikrar akan turun ke Himpunan mansuh PTPTN dan BERSIH 3.0 yang masing-masing akan diadakan pada 14 dan 28 April.

Walaupun terdapat tekanan daripada pihak kerajaan, anak muda dan mahasiswa akan tetap meneruskan himpunan bagi menggesa pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menuntut disediakan pendidikan percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.  Himpunan ini akan diadakan di Dataran Merdeka - Jam 2 Petang - pada 14 April ini. Himpunan ini adalah sebagai persediaan atau "acara warming up" sebelum BERSIH 3.0.

Sementara itu, berikutan laporan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa pilihan parlimen untuk penambahbaikan proses pilihan raya (PSC), gerakan pendesak reformasi pilihan raya BERSIH 2.0 berasa kecewa kerana mereka tidak membawa lima tuntutan yang lepas.  Rentetan daripada itu, pada hari ini Penganjur BERSIH 3.0 bersama Pengerusi bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) , A. Samad Said mengumumkan bahawa perhimpunan seterusnya iaitu BERSIH 3.0 akan diadakan pada penghujung bulan ini jam 2 petang - 28 April - di Dataran Merdeka Kuala Lumpur dengan slogan "duduk bantah".

Kami melihat terdapat beberapa perkara dalam PSC yang sesuai untuk digunapakai.  Namun begitu, terdapat juga banyak perkara yang tidak tencapai seperti yang diharapkan.  Oleh itu, kami menggesa anak muda, dan mahasiswa supaya turun BERSIH 3.0 bagi menuntut keadilan dan pilihan raya yang bersih untuk kali ini.

Tambahan pula, kami berharap supaya pilihan raya akan datang dapat dilaksanakan dengan telus bertepatan dengan lapan tuntutan BERSIH 3.0 bagi masa depan negara yang lebih baik.  Kita tidak boleh begitu ghairah dengan menghalalkan cara yang buruk asalkan matlamat tercapai kerana apabila nilai menjadi terlalu relatif, orang ramai terutamanya anak muda akan berasa kecewa dan muak dengan gejala buruk dan politik yang jijik.  Mereka akan bertanya adakah sudah tidak wujud lagi nilai baik dan salah dalam kamus politik kita?  Jadi, tidak hairanlah soal kepimpinan, politik dan hal ehwal semasa tidak dipedulikan oleh anak muda kerana politik jijik menjadi sanjungan.  Kekecewaan generasi muda pada hari ini akan merugikan serta menghasilkan generasi muda yang lemah ataumediocre.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) juga menyeru supaya seluruh masyarakat termasuk pemimpin politik, NGO dan rakyat akan turut bersama menyertai himpunan mansuh PTPTN dan BERSIH 3.0 bagi kesejahteraan negara pada masa akan datang.  Kita percaya kepada sistem demokrasi yang telus serta mendukung Perlembagaan Negara yang menjadi undang-undang tertinggi dalam negara ini.  Jadi, usah takut, usah gentar. Ayuh turun!

*Kenyataan media oleh Muhamad Safwan Anang @ Talib (gambar kanan) selaku Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). 


GAMIS MELAKA 
INSPIRASI ANAK MUDA