Thursday 19 September 2013

Amalan 'copy paste' tak beretika

KUALA LUMPUR - Amalan 'copy paste' atau 'salin dan tampal' maklumat dari internet bagi tujuan pembelajaran adalah perbuatan tidak beretika kerana menciplak, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau juga mengingatkan bahawa perbuatan itu tidak membantu meningkatkan kemahiran pelajar untuk berfikir secara bernas.
   
Katanya kesahihan maklumat itu juga tidak dapat dipastikan dan ini boleh menimbulkan penyebaran maklumat yang salah ke dalam proses pembelajaran pelajar.
   

"Pelajar serta masyarakat perlu diberikan kesedaran bahawa amalan tersebut adalah salah jika maklumat tidak diperhalusi kesahihannya," katanya ketika berucap pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2013 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
 
Jailani turut menekankan bahawa pelajar yang menjadikan internet sebagai rujukan atau bersosial supaya bijak dalam memberikan refleksi terhadap sesuatu isu yang didepani mereka termasuklah dalam isu penggunaan bahasa.
  
"Remaja atau pelajar tidak perlu terikut-ikut dengan lenggok bahasa rojak yang terdapat dalam media ini dan membawanya ke alam pembelajaran dan komunikasi seharian.
 
"Begitu juga dengan sebarang tindakan seperti memuat naik perkataan atau gambar yang negatif dan berkongsi pula dengan pengguna lain," katanya.
  
Ketua Pengarah DBP Datuk Awang Sariyan yang turut hadir berkata DBP kini dalam perancangan melaksanakan program penarafan bintang berhubung penggunaan bahasa kebangsaan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan pentadbiran awam.
  
Beliau berkata kerjasama antara DBP, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu adalah usaha untuk menjadikan PBT, tempat awam dan jabatan awam negara ini bercirikan citra kebangsaan melalui bahasa Melayu.
   
Katanya satu unit audit bahasa ditubuhkan bagi tujuan itu dengan 18 PBT sedang dinilai di peringkat awal untuk penarafan bintang sebelum diperluaskan di kesemua 149 PBT seluruh negara.



source : www.sinarharian.com.my
 

No comments:

Post a Comment