BERSIH 3.0 : KAMI TIDAK KATA MENOLAK KERAJAAN
Bersih 3.0 : Dari perspektif gerakan mahasiswa Melaka
Atas permintaan dari pelbagai pihak dan dikaji dengan penuh teliti dalam pelbagai sudut, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia cawangan MELAKA (GAMA) akan mengupas isu yang sedang hangat diperkatan iaitu BERSIH 3.0.
Peristwa bersejarah dalam negara, pada 28 april yang lepas telah membuka ruang yang luas buat pihak media. Dengan bantuan media inilah membuatkan ramai rakyat sama ada dalam atau luar negara dapat mengikuti perkembangan sebelum, semasa sehinggalah selepas pelaksanaan BERSIH 3.0 ini. Sudah tentu, pandangan daripada pihak yang berada di tempat kejadian itu berbeza daripada mereka yang tidak berada di sana. Mereka yang hanya mendapatkan berita terus daripada media, terutamanya di media arus perdana, belum tentu berita yang diterima itu benar atau sebaliknya. Dahulu, warna kuning merupakan warna kebanggaan rakyat juga warna kerabat diraja. Hari ini sedar atau pun tidak, kuning menjadi satu warna ancaman pada kerajaan.
Percaya atau tidak, hakikatnya ramai yang menyangka bahawa BERSIH 3.0 ini telah menjatuhkan imej negara. Namun begitu, perkara pokoknya BERSIH 3.0 ini adalah cadangan sejumlah rakyat Malaysia kepada pemimpin negara supaya dipertimbangkan dan dipraktikkan dalam pilihanraya yang bakal menjelma tidak lama lagi (PRU13). Apabila suara-suara ini tidak dipedulikan, rakyat yang kini sedar mengkaji semula perlembagaan negara tentang akta kebebasan bersuara dan berhimpun. Kami tidak bersetuju ia dikatakan bersih propaganda politik dari pakatan rakyat (PR) semata-mata. Mana-mana individu inginkan keadilan, bila mana sesuatu itu tidak diletakkan ditempatnya, maka ia didalam kelompok yang zalim.
Kerajaan Perlu Terima Hakikat
Pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepada kerajaan, isu NFC, LYNAS, pertambahan daftar undi melebihi bilangan penduduk sebenar, penyelewengan duit rakyat, pecah amanah dan bermacam-macam lagi. Jika ia benar-benar tuduhan dan fitnah dari pakatan rakyat, kami berbangga dengan pihak-pihak tertentu tampil bersama-sama rakyat untuk membuat penjelasan.
Hari ini, rakyat mula bangkit dan mampu mengenal antara kebenaran dan penipuan. Puluhan ribu atau mungkin ratusan ribu rakyat berbilang bangsa dan agama, inginkan masa depan negara ditentukan dengan kuasa penuh oleh rakyat sendiri sebagaimana yang diamalkan dalam prinsip demokrasi berpelembagaan. Dalam isu masa depan negara, mahasiswa yang benar-benar sayangkan negara, akan bersama-sama menentukan hala tuju pemerintahan negara demi masa depan kelak. Kami inginkan sistem demokrasi yang benar-benar adil dalam perlaksanaannya. Sebagaimana yang diujarkan oleh Professor Ungku Aziz,
" Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.."
Tidak ada makna jika cemerlang dalam pelajaran, saat tiba masa untuk berkhidmat pada negara, kita berhadapan negara yang ekonomi dan sistem pentadbirannya dalam keadaan tidak teratur. Walaupun hakikatnya akedemik adalah keutamaan bagi seorang mahasiswa, maka sedarlah inilah hasil pencapaian akademik saat dipraktikkan. Maka, jangan lahirkan mahasiswa jika takut golongan intelektual bersuara.
Sekitar BERSIH 3.0 semasa dan selepas
Perhimpunan aman bersih ini bertemakan duduk bantah. Menurut dari saksi yang berada ditempat kejadian, perhimpunan bermula sejak awal pagi lagi. Rakyat berpusu-pusu memenuhi Kuala Lumpur di beberapa kawasan dengan pelbagai cara dan helah demi mengelakkan dari ditahan oleh pihak berkuasa, polis. Selawat dan takbir dilaungkan dan disahut beramai-ramai. Azan zohor berkumandang, semua peserta bersih memberi penghormatan. Yang menarik perhatian kami,bilamana golongan bukan islam memberi ruang dan menjaga muslim untuk mendirikan solat. Manakala pihak polis sedang mengawal keadaan, dan tiada provokasi dilakukan pada asalnya.
Persoalannya, tidak timbul isu tawaran stadium oleh PM tetapi kenapa perlu menghalang rakyat untuk berhimpun di Dataran Merdeka? Jika dikatakann akan merugikan peniaga di kawasan terdekat, terdapat deretan kedai dibuka, malah laris berkali ganda dari hari-hari biasa. Pihak polis menutup beberapa jalan utama yang dikawal dengan senjata tertentu. Keadaan perhimpunan itu bemula dengan aman sejak awal pagi, bertukar kucar-kacir dengan sekelip mata apabila polis menyebur air (water canon) dan gas pemedih mata.
Dengan tindakan pihak polis itu, menimbulkan ketidakpuasan hati dari pelbagai pihak. Tidak dinafikan, provokasi dari pihak-pihak tertentu membuatkan segelintir peserta mengganas, tetapi polis lebih mengganas. (kami tidak mahu mengulas isu ini lebih mendalam, pembaca boleh menilai sendiri dari pelbagai sumber).
Kesimpulan dari Kami GAMIS Melaka
Kami gabungan mahasiswa islam cawangan negeri melaka sekali lagi menyatakan tidak menolak kerajaan malaysia dan berterima kasih atas daya usaha tertentu dalam mentadbir negara, dengan syarat tunaikan kesemua tuntutan dan tujuan asal bersih iaitu mempunyai lapan tuntutan yang telah digariskan BERSIHkan Senarai Undi (Daftar Pemilih), Reformasikan Undi Pos, Gunakan Dakwat Kekal Akses Media Yang Bebas & Adil, Tempoh Berkempen Minima 21 Hari, Kukuhkan Institusi Awam ,Hentikan Rasuah dan Hentikan Politik Kotor.
Kami bersuara demi melihat sebuah negara yang aman dan mempunyai pentadbiran yang bersih dan adil.
Oleh,
UNIT PENERANGAN GAMIS CAWANGAN MELAKA.