Monday 30 April 2012

BERSIH 3.0 : Sudut pandang Gamis Melaka

BERSIH 3.0 : KAMI TIDAK KATA MENOLAK KERAJAAN

Dari Gamis Melaka menyokong pelaksanaan BERSIH 3.0

Bersih 3.0 : Dari perspektif gerakan mahasiswa Melaka

Atas permintaan dari pelbagai pihak dan dikaji dengan penuh teliti dalam pelbagai sudut, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia cawangan MELAKA (GAMA) akan mengupas isu yang sedang hangat diperkatan iaitu BERSIH 3.0. 

Peristwa bersejarah dalam negara, pada 28 april yang lepas telah membuka ruang yang luas buat pihak media. Dengan bantuan media inilah membuatkan ramai rakyat sama ada dalam atau luar negara dapat mengikuti perkembangan sebelum, semasa sehinggalah selepas pelaksanaan BERSIH 3.0 ini. Sudah tentu, pandangan daripada pihak yang berada di tempat kejadian itu berbeza daripada mereka yang tidak berada di sana. Mereka yang hanya mendapatkan berita terus daripada media, terutamanya di media arus perdana, belum tentu berita yang diterima itu benar atau sebaliknya. Dahulu, warna kuning merupakan warna kebanggaan rakyat juga warna kerabat diraja. Hari ini sedar atau pun tidak, kuning menjadi satu warna ancaman pada kerajaan. 

Percaya atau tidak, hakikatnya ramai yang menyangka bahawa BERSIH 3.0 ini telah menjatuhkan imej negara. Namun begitu, perkara pokoknya BERSIH 3.0 ini adalah cadangan sejumlah rakyat Malaysia kepada pemimpin negara supaya dipertimbangkan dan dipraktikkan dalam pilihanraya yang bakal menjelma tidak lama lagi (PRU13). Apabila suara-suara ini tidak dipedulikan, rakyat yang kini sedar mengkaji semula perlembagaan negara tentang akta kebebasan bersuara dan berhimpun. Kami tidak bersetuju ia dikatakan bersih propaganda politik dari pakatan rakyat (PR) semata-mata. Mana-mana individu inginkan keadilan, bila mana sesuatu itu tidak diletakkan ditempatnya, maka ia didalam kelompok yang zalim.

Kerajaan Perlu Terima Hakikat

Pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepada kerajaan, isu NFC, LYNAS, pertambahan daftar undi melebihi bilangan penduduk sebenar, penyelewengan duit rakyat, pecah amanah dan bermacam-macam lagi. Jika ia benar-benar tuduhan dan fitnah dari pakatan rakyat, kami berbangga dengan pihak-pihak tertentu tampil bersama-sama rakyat untuk membuat penjelasan.

Hari ini, rakyat mula bangkit dan mampu mengenal antara kebenaran dan penipuan. Puluhan ribu atau mungkin ratusan ribu rakyat berbilang bangsa dan agama, inginkan masa depan negara ditentukan dengan kuasa penuh oleh rakyat sendiri sebagaimana yang diamalkan dalam prinsip demokrasi berpelembagaan. Dalam isu masa depan negara, mahasiswa yang benar-benar sayangkan negara, akan bersama-sama menentukan hala tuju pemerintahan negara demi masa depan kelak. Kami inginkan sistem demokrasi yang benar-benar adil dalam perlaksanaannya. Sebagaimana yang diujarkan oleh Professor Ungku Aziz, 

" Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.." 

Tidak ada makna jika cemerlang dalam pelajaran, saat tiba masa untuk berkhidmat pada negara, kita berhadapan negara yang ekonomi dan sistem pentadbirannya dalam keadaan tidak teratur. Walaupun hakikatnya akedemik adalah keutamaan bagi seorang mahasiswa, maka sedarlah inilah hasil pencapaian akademik saat dipraktikkan. Maka, jangan lahirkan mahasiswa jika takut golongan intelektual bersuara.

Sekitar BERSIH 3.0 semasa dan selepas

Perhimpunan aman bersih ini bertemakan duduk bantah. Menurut dari saksi yang berada ditempat kejadian, perhimpunan bermula sejak awal pagi lagi. Rakyat berpusu-pusu memenuhi Kuala Lumpur di beberapa kawasan dengan pelbagai cara dan helah demi mengelakkan dari ditahan oleh pihak berkuasa, polis. Selawat dan takbir dilaungkan dan disahut beramai-ramai. Azan zohor berkumandang, semua peserta bersih memberi penghormatan. Yang menarik perhatian kami,bilamana golongan bukan islam memberi ruang dan menjaga muslim untuk mendirikan solat. Manakala pihak polis sedang mengawal keadaan, dan tiada provokasi dilakukan pada asalnya. 

Persoalannya, tidak timbul isu tawaran stadium oleh PM tetapi kenapa perlu menghalang rakyat untuk berhimpun di Dataran Merdeka? Jika dikatakann akan merugikan peniaga di kawasan terdekat, terdapat deretan kedai dibuka, malah laris berkali ganda dari hari-hari biasa. Pihak polis menutup beberapa jalan utama yang dikawal dengan senjata tertentu. Keadaan perhimpunan itu bemula dengan aman sejak awal pagi, bertukar kucar-kacir dengan sekelip mata apabila polis menyebur air (water canon) dan gas pemedih mata.

Dengan tindakan pihak polis itu, menimbulkan ketidakpuasan hati dari pelbagai pihak. Tidak dinafikan, provokasi dari pihak-pihak tertentu membuatkan segelintir peserta mengganas, tetapi polis lebih mengganas. (kami tidak mahu mengulas isu ini lebih mendalam, pembaca boleh menilai sendiri dari pelbagai sumber).

Kesimpulan dari Kami GAMIS Melaka

Kami gabungan mahasiswa islam cawangan negeri melaka sekali lagi menyatakan tidak menolak kerajaan malaysia dan berterima kasih atas daya usaha tertentu dalam mentadbir negara, dengan syarat tunaikan kesemua tuntutan dan tujuan asal bersih iaitu mempunyai lapan tuntutan yang telah digariskan BERSIHkan Senarai Undi (Daftar Pemilih), Reformasikan Undi Pos, Gunakan Dakwat Kekal Akses Media Yang Bebas & Adil, Tempoh Berkempen Minima 21 Hari, Kukuhkan Institusi Awam ,Hentikan Rasuah dan Hentikan Politik Kotor.

Kami bersuara demi melihat sebuah negara yang aman dan mempunyai pentadbiran yang bersih dan adil.



Oleh,

UNIT PENERANGAN GAMIS CAWANGAN MELAKA.

Sunday 22 April 2012

Dilema Pendidikan Percuma

DILEMA PENDIDIKAN PERCUMA

PTPTN : Hapus atau kekal?


Hapuskan PTPTN, hapuskan riba sahaja atau tukar jadi biasiswa bagi yang cemerlang. Bagi kami, itu adalah perkara-perkara teknikal yang kerajaan boleh duduk semeja memikirkan penyelesaiannya mengikut keadaan kewangan negara. Asal saja kerajaan ada political will yang kuat untuk menyalurkan dana negara ke arah matlamat yang lebih penting seperti hak-hak asasi sehingga tercapainya win-win situation.

Perlu difahami mungkin ramai yang melihat isu penghapusan PTPN ini sebagai satu manifesto pihak pembangkang dalam menabur janji. Tidak kurang juga, ramai yang keliru dengan isu ini lebih-lebih lagi bila dilaporkan hutang negara yang banyak dan bakal mengalami bankrupt sekiranya diberikan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia. 

Namun begitu, tidak bagi kami Gamis Melaka melihat sebenarnya terkandung isu tersirat di sebalik penghapusan PTPTN ini. Sebagaimana kami mendokong politik nilai yang dibawakan mana-mana pihak, maka kami mempunyai pandangan terhadap isu PTPTN ini. Sehingga kita terlupa, sebenarnya juga perkara pokok kepada isu ini adalah dilihat bagaimana kerajaan berbelanja dan menguruskan kewangan negara, sehingga MAMPU berhutang sebanyak itu.

Tersirat di sebalik tersurat

Perkara tersirat yang cuba dibawa perlu kita fahami. Satu, sudah cukuplah dengan mentaliti DEB yang telah tertanam kemas di minda rakyat. Bantuan demi bantuan telah diberikan, tetapi akhirnya pelajar tetap malas dan sukar untuk berdiri di kaki sendiri. Inilah dia mentaliti yang telah ditanam sejak sekian lama. Oleh sebab itu masyarakat takut dan ragu untuk bersetuju dengan konsep pendidikan percuma. 

Minda rakyat tidak dididik dengan modal insan kelas pertama, yang penuh dengan daya saing dan nilai etika yang tinggi, seperti yang ingin dicapai dalam Wawasan 2020. Kesannya, prestasi pelajar semakin diragui apabila menuntut agar diberi kesenangan. Bukankah ini juga salah satu tanggungjawab pemerintah, iaitu untuk membentuk acuan pemikiran rakyat? Konsep bersyukur itu, bukankah kerajaan juga yang sudah sekian lama menanamnya?

Dua, siapa yang tidak berang dengan kes-kes dan skandal-skandal politik wang yang dilakukan pemerintah. Di saat ada ramai lagi anak-anak Malaysia yang tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran ataupun bahkan untuk menjinjit beg sekolah pun, skandal-skandal seperti hutang RM580 juta Datuk Tajudin Ramli yang dilupuskan, kes komisen RM500 juta kapal selam Scorpene, kes cincin RM24 juta Datin Rosmah, skandal RM250 juta National Feedlot Corporation Datuk Sharizat dan lain-lain lagi sedang bertiup kencang di arena politik Malaysia. 

Siapa berang, siapa yang tentang?

Apabila pelajar yang berang, sudah tentu ia dikaitkan dengan mendahulukan dana-dana yang dibazirkan itu ke arah pendidikan. Kalau rakyat Sabah yang berang, sudah tentu ia dikaitkan dengan mendahulukan ia ke arah pembaikan jalan raya dan pengembalian tanah adat. Kalau orang miskin yang berang, sudah tentu ia dikaitkan dengan dana-dana kebajikan. Bagitulah senario politik Malaysia yang dilihat pada masa kini, dan ini sudah amat memualkan sehingga terbit penentangan.

Di mana akhirnya, pelajar yang berang dahulu. Dana-dana itu kalaulah disalurkan ke tujuan pendidikan, ramailah anak-anak miskin yang mampu untuk melanjutkan pelajaran, ramailah juga anak-anak miskin yang mampu menikmati pendidikan walaupun yang paling minimal. Kesannya mungkin tidak akan kita rasa sekarang, tapi dalam jangka masa yang panjang. Kesan positif atau negatif itu bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan menguruskannya.

Tindakan hari ini untuk masa hadapan


Impak mereka yang berkhemah di Dataran Merdeka itu sudah kita lihat. Respon-respon dari pihak kerajaan, pembangkang, pelajar dan rakyat berpusu-pusu mengisi laman-laman diskusi, kedai-kedai kopi, bahkan kelas-kelas di universiti. Ada yang kata mereka biadap, ada juga yang kata mereka berani. Biadap atau berani, sama-sama kita fikir apa impak yang berjaya mereka bawa. Akan samakah dengan jalan diplomasi yang sudah berkali-kali ditolak dan disenyapkan?

8 tahun lagi, tahun 2020. Semak balik 9 cabaran yang kerajaan sendiri letakkan. Lagu W2020 yang kita nyanyikan di perhimpunan sekolah dulu akan kita lihat hasilnya tidak lama lagi. Sempatkah kita menyaksikannya? Apakah kami bakal melihat masa depan yang gemilang melahirkan masyarakat yang berpendidikan atau hanya sebahagian? Maka sama-sama kita fikirkan dan lakukan perubahan.




" Inspirasi Anak Muda "

Unit Penerangan,
Gamis Melaka.

Monday 9 April 2012

Debat Rakyat Melaka : Salah Siapa?




GPMS Melaka Cuba Menyalahkan Seorang Pelajar UTeM atas Fitnah yang Juga Dialami Oleh GAMA?

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Melaka telah bertindak membuat laporan polis terhadap seorang pelajar tahun akhir Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di atas tindakan menyebarkan poster Debat Perdana – Pembangunan atau Pemborosan di laman interaktif Facebook. Pelajar tersebut, Nur Syawana binti Murad juga secara tidak bertanggungjawab telah disifatkan oleh GPMS Melaka sebagai ejen kepada parti pembangkang. Debat Perdana – Pembangunan atau Pemborosan ini ialah debat yang sepatutnya menemukan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Haj Adly Zahari yang bakal diadakan di MITC Ayer Keroh Melaka pada 15 April 2012 ini.

Saya mewakili pihak pimpinan Gamis Melaka (GAMA) ingin menyatakan pendirian kami bahawa kami juga tidak terlibat sedikit pun di dalam penganjuran Debat Perdana ini walaupun seperti yang telah dinyatakan di dalam poster tersebut, debat ini adalah di bawah anjuran bersama GAMIS Melaka (GAMA) dan GPMS Melaka. GAMA, sepertimana GPMS Melaka juga telah difitnah oleh individu-individu yang mungkin bertujuan untuk mencari publisiti percuma dengan menumpang nama GAMA dan GPMS ataupun lebih teruk lagi ingin mengeruhkan hubungan di antara kedua-dua belah pihak.

Selain itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menegaskan kepada masyarakat bahawa sepertimana GPMS Melaka, GAMA juga adalah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang bersifat non-partisan. Kami mengambil posisi neutral dan tidak terlibat dan terikat dengan mana-mana parti politik. Salah satu peranan utama kami ialah mengenengahkan sebarang isu-isu semasa yang berlaku di dalam Negara. Sebagai pimpinan GAMA, kami langsung tidak tahu menahu dengan isu anjuran bersama ini walaupun sebuah poster yang menyatakan demikian telah dibuat dan dimuatnaik oleh individu yang menggunakan nama Tuna Aya di laman interaktif Facebook.

Persoalan saya di sini, apakah perlu seorang yang masih bergelar pelajar disalahkan apabila beliau hanya berkongsi informasi di laman Facebook beliau? Bukankah berkongsi maklumat itu adalah salah satu kegunaan Facebook? Penuntut universiti yang terpelajar dan cakna dengan isu-isu negara sudah semestinya teruja dengan penganjuran debat yang ilmiah dan meraikan tahap intelektualisme mereka, dan sudah tentu juga mereka mahu menyebarkan maklumat yang sama kepada orang lain. Mengapa apabila ia berkaitan dengan isu politik, tambahan pula jika isu itu kononnya memihak kepada parti pembangkang, pelajar universiti terus dikecam sebegini hebat?

Saya mengkritik penerimaan sempit GPMS Melaka terhadap isu ini. Seharusnya isu ini dihadapi dengan realistik dan matang. GPMS Melaka boleh membuat laporan polis terhadap fitnah ketidakterlibatan mereka dalam Debat Perdana terhadap individu yang membuat dan memuatnaik poster ini.  Tindakan reaktif menyalahkan seorang pelajar yang hanya bertindak berkongsi (Share) poster tersebut adalah tidak perlu kerana sepatutnya siasatan untuk mencari pemilik asal poster tersebut perlu dilakukan terlebih dahulu. Bahkan poster itu juga telah disebarkan oleh ramai individu lain.


Pihak GAMA yang juga telah difitnah bersama GPMS Melaka akan secepat mungkin menyelesaikan isu ini. Harapan kami adalah agar individu yang tidak bersalah tidak mendapat impak yang sebegitu teruk di atas perlakuan khianat orang lain. InsyaAllah masalah ini akan cuba diselesaikan dengan baik. Sebagai orang yang terpelajar, marilah kita sama-sama menggunakan akal yang telah dikurniakan dengan sebaiknya. Saya melampirkan juga pautan ke laman yang menyatakan ketidakterlibatan GPMS Melaka di dalam isu ini. Pihak GAMA akan segera bertindak untuk menyelesaikan isu ini. Wallahua’lam.


Thursday 5 April 2012

SMM: Himpun mansuh PTPTN sebelum BERSIH 3.0

Anak muda dan Mahasiswa inginkan keadilan.  Justeru, kami berikrar akan turun ke Himpunan mansuh PTPTN dan BERSIH 3.0 yang masing-masing akan diadakan pada 14 dan 28 April.

Walaupun terdapat tekanan daripada pihak kerajaan, anak muda dan mahasiswa akan tetap meneruskan himpunan bagi menggesa pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menuntut disediakan pendidikan percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.  Himpunan ini akan diadakan di Dataran Merdeka - Jam 2 Petang - pada 14 April ini. Himpunan ini adalah sebagai persediaan atau "acara warming up" sebelum BERSIH 3.0.

Sementara itu, berikutan laporan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa pilihan parlimen untuk penambahbaikan proses pilihan raya (PSC), gerakan pendesak reformasi pilihan raya BERSIH 2.0 berasa kecewa kerana mereka tidak membawa lima tuntutan yang lepas.  Rentetan daripada itu, pada hari ini Penganjur BERSIH 3.0 bersama Pengerusi bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) , A. Samad Said mengumumkan bahawa perhimpunan seterusnya iaitu BERSIH 3.0 akan diadakan pada penghujung bulan ini jam 2 petang - 28 April - di Dataran Merdeka Kuala Lumpur dengan slogan "duduk bantah".

Kami melihat terdapat beberapa perkara dalam PSC yang sesuai untuk digunapakai.  Namun begitu, terdapat juga banyak perkara yang tidak tencapai seperti yang diharapkan.  Oleh itu, kami menggesa anak muda, dan mahasiswa supaya turun BERSIH 3.0 bagi menuntut keadilan dan pilihan raya yang bersih untuk kali ini.

Tambahan pula, kami berharap supaya pilihan raya akan datang dapat dilaksanakan dengan telus bertepatan dengan lapan tuntutan BERSIH 3.0 bagi masa depan negara yang lebih baik.  Kita tidak boleh begitu ghairah dengan menghalalkan cara yang buruk asalkan matlamat tercapai kerana apabila nilai menjadi terlalu relatif, orang ramai terutamanya anak muda akan berasa kecewa dan muak dengan gejala buruk dan politik yang jijik.  Mereka akan bertanya adakah sudah tidak wujud lagi nilai baik dan salah dalam kamus politik kita?  Jadi, tidak hairanlah soal kepimpinan, politik dan hal ehwal semasa tidak dipedulikan oleh anak muda kerana politik jijik menjadi sanjungan.  Kekecewaan generasi muda pada hari ini akan merugikan serta menghasilkan generasi muda yang lemah ataumediocre.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) juga menyeru supaya seluruh masyarakat termasuk pemimpin politik, NGO dan rakyat akan turut bersama menyertai himpunan mansuh PTPTN dan BERSIH 3.0 bagi kesejahteraan negara pada masa akan datang.  Kita percaya kepada sistem demokrasi yang telus serta mendukung Perlembagaan Negara yang menjadi undang-undang tertinggi dalam negara ini.  Jadi, usah takut, usah gentar. Ayuh turun!

*Kenyataan media oleh Muhamad Safwan Anang @ Talib (gambar kanan) selaku Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). 


GAMIS MELAKA 
INSPIRASI ANAK MUDA

Wednesday 4 April 2012

Dr Asri : Tawaddu' Bukan Mudah




Ada hati yang terluka,
Ada tangisan di bibir mata,
Ada derita meruntun jiwa,
Ada jiwa tiada bernyawa…

Hati ini sedih sekali,
Ada derita silih berganti,
Ingin pergi membawa diri,
Tempat mengadu hanya Ilahi….

Moga luka boleh diubati,
Moga jiwa hidup kembali,
Moga hati tidak mati,
Moga derita berlalu pergi….

Siapa sangka siapa menduga,
Bahagia dicari derita tiba,
Mengadu nasib pada yang Esa,
Moga tenang seluruh jiwa..

Andainya laut itu selalu tenang
jurumudi akan kehilangan keberaniannya
kelasi menjadi bisu
pelayaran menjadi terlalu berat
meninggalkan perlabuhan hakikat.

Ahmad Badruddin,
"Kita Cuma Hamba"


Politik Itu Ibadah



Terdapat dalam kalangan umat Islam sekarang bertanya, ''Mengapakah terdapat dalam kaalangan orang-orang kita yang aktif di medan politik lebih daripada ibadah?" Mereka ragu dengan gerakan dan kebangkitan Harakah Islamiyyah yang menyeluruh, kononnya ia tidak ada hubungan dengan pengertian Islam yang sebenar. Malah mereka menganggap ianya satu penyelewengan dari penghayatan islam yang sebenar. Islam tidak membezakan antara orang-orang di mihrab-mihrab masjid, yang mengeluarkan air mata khusyu' dan tawaddu' kepada Allah, dengan orang yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah, baik dengan menggunakan air liur, dakwat pena, malah dengna peluh dan darah yang mengalir demi kecintaan mereka terhadap Islam. Al Imam 'Abdullah alMubarak pernah menulis kepada sahabatnya yang beribadat di Mekkah denngan meninggalkan jihad :

"wahai saudara yang sedang beribadat di tanah suci. Kalau saudara melihat kami, saudara akan ketahui. saudara hanya bermain dengan ibadat. siapa yang pipinya berlumuran air mata, maka leher kami berlumuran darah. kalau kudamu penat dalam kebatilan, maka kuda kami penat di medan perang".

Sesungguhnya membezakan antara orang yang beriktikaf di masjid dengna mereka yang berjuang menegakkan masyarakat dan negara Islam, yang pertama dinamakan orang agama atau orang dakwah yang menghayati Islam, dan yang keduanya dipanggil orang politik yang berjuang untuk kepentingan duniawi, adalah perbezaan yang ditonjolkan oleh musuh Islam. Ini menunjukkan betapa jahilnya orang Islam jikalau mereka terpedaya dan terpengaruh dalam pentakrifan ini !

Petikan dari buku "Islam : Fikrah, Harakah dan Daulah" oleh TG Hj Abdul Hadi Awang, Dewan Pustaka Fajar, Bab 1 dengan sedikit perubahan bahasa sesuai sebagai peringatan ringkas.


Tuesday 3 April 2012

Batal PTPTN: Menifesto Awal PRU 13 Untuk Mahasiswa



Isu penghapusan skim pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukanlah isu yang dipolitikkan, tetapi ia merupakan isu yang dibawa untuk menjada hak dan kebajikan mahasiswa.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyokong iltizam Pakatan Rakyat untuk membatalkan PTPTN sekiranya Pakatan berjaya membentuk kerajaan pusat selepas pilihanraya umum akan datang.

Iltizam PR untuk membatalkan pinjaman PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma dari sekolah rendah sehingga univerisiti boleh dilakukan sekiranya kerajaan berhemat dalam setiap perbelanjaan dan menghapuskan budaya rasuah dan kronisme yang merugikan negara.

Kenyataan menteri yang menyatakan bahawa idea tersebut adalah tidak relevan buat masa ini menunjukkan kedangkalan bagi seorang yang ‘berkuasa’ terhadap sistem pengajian tinggi di Malaysia

Sewajarnya pihak kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi perbincangn dengan PR berhubung dengan kaedah mengurangkan bebanan pembiayaan pengajian pelajar, bukannya dengan mengkritik idea yang dibawa oleh PR.

Isu ini sejajar dengan agenda yang dibawa dalam Deklarasi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) yang dilancarkan pada 25 Mac 2012 iaitu dalam membela hak dan kebajikan mahasiswa dalam pembiayaan pengajian.

Di samping itu, Inspirasi membawa 6 agenda utama dalam pembentukan masa depan negara Malaysia yang lebih cemerlang iaitu Rejuvinasi Sistem Pendidikan, Keadilan Undang-undang, Ekonomi untuk rakyat, Jaminan Kerjaya, Integriti Politik dan Keharmonian Sosial.

Inspirasi yang didokong oleh Gamis bersama 13 front mahasiswa di seluruh negara juga akan bersama dalam  Himpunan mansuh PTPTN pada 14 April ini.

Eikhwan Ali,
Naib Presiden 1 GAMIS

Pengerusi INSPIRASI